Malaysia Berita

Meskipun Malaysia B-23 diundi bersama UAE, Ong Kim Swee tidak gentar

Kehadiran Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam Kumpulan E saingan bola sepak Sukan Asia 2018 bulan depan jelas dilihat menyukarkan lagi peluang Malaysia B-23 untuk layak ke pusingan seterusnya.

Malah disebabkan penyertaan UAE, Datuk Ong Kim Swee terpaksa membatalkan aksi persahabatan berdepan Arab Saudi B-23 yang dijadualkan berlangsung pada 9 Ogos kerana kumpulan yang mempunyai lima pasukan terpaksa bermula pada 10 Ogos berbanding 14 Ogos sebelum ini.

Justeru itu, Kim Swee berkata, pasukannya hanya memiliki tempoh empat hari untuk berlatih dan berpeluang untuk beraksi dalam satu perlawanan persahabatan berdepan China B-23 pada 5 Ogos ini sebelum berlepas ke Jakarta pada 8 Ogos.

“Sebab itu sebelum ini saya minta jika ada undian semula, lakukan dengan segera, tapi apa boleh buat, kami terpaksa terima.

“Memang di atas kertas Korea Selatan dan UAE adalah pasukan pilihan, tapi kami akan cuba yang terbaik. Ini satu cabaran besar buat semua pemain,” katanya kepada Berita Harian.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, meskipun Malaysia berdepan dengan Korea Selatan dan UAE, tidak mustahil untuk mereka melakar kejutan sekali lagi.

“Kita terpaksa terima dan anggap ini satu peluang dapat beraksi dengan pasukan terbaik. Sudah tentu kita nak dedahkan pemain dengan pasukan terbaik, barulah kita jadi pasukan lebih baik pada masa akan datang.

“Dulu ketika pergi ke China masa Kejohanan AFC pun, kita pasukan yang tak diberi harapan, tapi akhirnya kita berjaya masuk ke suku akhir sebelum kalah kepada Korea Selatan, itu pun kalah tipis.

“Semangat dari China perlu dibawa oleh pasukan ini untuk menunjukkan yang kita bukan pasukan belasahan dan tidak mustahil untuk kita melakukan kejutan di Sukan Asia nanti,” katanya.