Malaysia Berita

Final AFF B-19 hari ini tetap berlangsung di stadium yang sama

Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) menafikan berita yang tular di media sosial bahawa stadium bagi perlawanan akhir Kejohanan Bola Sepak Bawah 19 Tahun (B-19) AFF antara Malaysia dan Myanmar pada hari ini akan ditukar ke stadium lain.

Menurut AFF, perlawanan akhir akan tetap dilangsungkan di stadium yang sama meskipun tuan rumah masih terpalit dengan insiden keganasan penyokong yang mengancam keselamatan para pemain dan barisan kejurulatihan Malaysia B-19.

“Perlawanan akhir tetap akan berlangsung di Stadium Gelora Delta Sidoarjo, Surabaya pada pukul 8 malam waktu Malaysia.

“Perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat antara Thailand dan Indonesia akan berlangsung terlebih dahulu pada pukul 4.30 petang waktu Malaysia di stadium yang sama,” kata AFF menerusi laman sesawang www.aseanfootball.org.

Pada masa yang sama, jawatankuasa penganjur kejohanan dengan kerjasama Polis Republik Indonesia (Polri) sudah mengambil langkah yang sewajarnya bagi memastikan keselamatan para pemain dan pegawai pasukan dijaga dengan baik sepanjang perlawanan.

Malaysia menewaskan Indonesia 3-2 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam perlawanan separuh akhir.

Namun kekalahan itu menyebabkan sebahagian penyokong Indonesia bertindak membaling batu dan botol ke arah pemain Malaysia B-19 serta menghalang mereka daripada menuju ke bilik persalinan selepas tamat perlawanan.

Insiden itu juga menimbulkan desakan terhadap FAM, AFF dan AFC supaya bertindak tegas terhadap Indonesia bagi mengelakkan perkara yang sama berulang lagi pada masa akan datang.