Piala Dunia 2018 Berita

Sugoi desu ne, Jepun!

Piala Dunia 2018 kembali mempamerkan keajaibannya. Terlalu banyak perlawanan yang diselitkan elemen dramatic. Salah satunya adalah aksi pusingan kedua antara Jepun dan Belgium. Skuad Samurai Biru hampir memalukan gergasi bola sepak Eropah yang sedang meningkat ini.

Malangnya, keunggulan dua gol yang dimiliki gagal dipertahankan Jepun dan jaringan pada minit terakhir Nacer Chadli memberikan kemenangan buat The Red Devils, sekaligus menghantar Jepun pulang. Namun, persembahan Shinji Kagawa ketika berdepan Belgium adalah sesuatu yang sugoi (hebat) dan harus menerima pujian.

Mengapa persembahan Jepun harus dihamburkan pujian. Buat pasukan yang melantik ketua jurulatihnya dua bulan sebelum pusingan akhir Piala Dunia bermula, apa yang dicapai Jepun sangat luar biasa. Akira Nishino, pengendali yang telah memanfaatkan waktu singkat dengan penuh kejutan. Mereka dijangka terkandas di peringkat kumpulan tetapi berjaya meneruskan kemaraan dan menyumbat dua gol ketika berdepan Belgium yang ketika ini disebut sebagai pasukan generasi emas.

Malah, mereka juga telah mencipta sejarah. Genki Haraguci, pemain sayap kanan Jepun yang menyumbat gol pertama ketika berdepan Belgium, akan dicatatkan sebagai pemain pertama Jepun yang mencipta jaringan buat The Blue Samurai di peringkat kalah mati Piala Dunia. Sebelum gol itu hadir, Jepun tidak pernah meraih sebarang jaringan dan hanya mengutip gol ketika penentuan sepakan penalti di peringkat kalah mati.

Selain Haraguchi, pasukan Jepun yang tampil di Russia secara keseluruhan juga tercatat dalam sejarah. Piala Dunia 2018 menjadi Piala Dunia terbaik buat mereka dengan catatan enam gol, bermula daripada peringkat kumpulan sehingga disingkirkan Belgium. Takashi Inui menjadi penjaring terbanyak dengan dua gol, diikuti satu gol oleh Haraguchi, Kagawa, Yuya Osako dan Keisuke Honda.

Amat sedih apabila melihat Jepun gagal mara ke suku akhir dan tiada wakil Asia yang masih berjuang di Russia. Namun, apa yang ditampilkan oleh jepun adalah sesuatu yang sugoi, bukan sahaja ketika berdepan Belgium tetapi semua aksi di Piala Dunia 2018.

Sugoi desu ne (luar biasa), Jepun!