Kajian & Analisis Piala Dunia 2018

Koleksi statistik menarik daripada kekalahan Mexico di tangan Brazil

Mexico yang melakukan kejutan dengan menewaskan juara bertahan, Jerman berjaya mara ke pusingan 16 kalah mati. Menunggu mereka di peringkat ini adalah juara dunia 5 kali, Brazil.

Berdasarkan perlawanan tersebut, Mexico mampu memberikan cabaran yang sengit kepada Brazil namun tidak mampu untuk menundukkan mereka. Mengapakah Brazil lebih layak untuk mencatatkan kemenangan?

Statistik menunjukkan, Mexico menguasai bola namun Brazil lebih ghairah untuk menguji gawang Mexico. Mexico juga memiliki jumlah hantaran melebihi pasukan Brazil namun tidak banyak produk akhir yang dapat dijelmakan oleh mereka.

Berikut adalah statistik perlawanan di antara Brazil dan Mexico:

Penguasaan bola

Perlawanan ini nampaknya lebih dikuasai oleh Mexico dengan 53% penguasaan bola. Manakala Brazil pula menguasai sekitar 47% bola.

Percubaan

Walaupun kurang daripada segi peratusan penguasaan bola, untuk percubaan Brazil adalah lebih cemerlang. Berdasarkan statistik, Brazil membuat 21 percubaan, 10 daripadanya tepat ke sasaran, 7 tersasar dan 8 berjaya dihalang oleh pemain Mexico. Manakala skuad El Tri pula hanya mempunyai 13 percubaan dengan 1 daripadanya tepat ke sasaran. 4 tersasar dan 4 lagi dihalang.

Bola mati

Brazil juga mendominasi sepakan penjuru dan sepakan percuma. Mereka mendapat 8 sepakan penjuru dan 20 sepakan percuma manakala Mexico hanya memiliki 7 sepakan penjuru dan 6 sepakan percuma.

Hantaran

Mexico yang menguasai bola juga memiliki hantaran yang tinggi. Mereka melakukan 424 hantaran dengan kadar 85% adalah hantaran tepat. Manakala Brazil hanya merekodkan 398 hantaran dengan kadar 83% hantaran tepat.

Disiplin

Dari segi disiplin, Brazil lebih berdisiplin dengan sekadar merekodkan 6 kekerasan dan menerima 2 kad kuning. Manakala Mexico melakukan 18 kekasaran dan dilayangkan kad kuning 4 kali oleh pengadil perlawanan.