Luar Negara Eropah

Koleksi transfer rumours terhangat di Eropah: 3 Julai 2018

Bagi pemain bola sepak, pemilihan pasukan yang tepat menjadi satu persoalan yang sering menghantui mereka setiap kali cuba untuk berhijrah. Situasi sama turut dihadapi oleh setiap kelab di dunia termasuk Eropah kerana jika tersilap, pelaburan mereka hanya menjadi sia-sia.

Situasi itu membuatkan setiap pemain akan cuba mendapatkan kelab yang sesuai dengan cara permainan mereka dan begitu juga dengan barisan kelab di Eropah. Kali ini, terdapat satu gosip yang mengejutkan daripada bintang terkemuka di dunia. Berikut adalah koleksi transfer rumours terhangat di Eropah pada hari ini:

Kasper Schmeichel

Penjaga gol Denmark ini menampilkan aksi cemerlang di Piala Dunia 2018, terutamanya sewaktu perlawanan pusingan kedua bertemu Croatia. Walaupun tewas, pemain Leicester City ini nyata mencuri tumpuan, terutamanya setelah menafikan sepakan penalti Luka Modric dalam aksi masa tambahan serta dua lagi selepas tamat permainan sebenar. Kini, AS Roma dan Chelsea dilaporkan berminat untuk mendapatkan khidmatnya.

Daley Blind

Sejak menyertai Manchester United menerusi yuran berjumlah GBP14 juta pada September 2014, pemain tengah Belanda ini kini dikaitkan dengan perpindahan kembali ke Ajax. Pada musim lalu, dia hanya beraksi dalam tujuh perlawanan buat The Red Devils dan selepas mendapatkan Dusan Tadic dari Southampton, Ajax mahu memperbaiki bahagian tengah mereka dengan kehadiran Blind.

Gianluigi Buffon

Satu lagi kisah perpindahan melibatkan posisi penjaga gol. Pemain Itali ini dijangka akan melengkapkan perpindahan ke Paris Saint-Germain (PSG) dalam masa beberapa hari lagi. Pemain berusia 40 tahun ini meninggalkan Juventus pada musim panas ini tatkala kontraknya bersama juara Itali itu tamat dan dia dijangka menandatangani perjanjian dua tahun bersama PSG. Situasi itu juga mungkin menyebabkan PSG terpaksa melepaskan sama ada Kevin Trapp atau Alphonse Areola.

Thibaut Courtois

Penjaga gol Belgium ini pernah dikaitkan dengan perpindahan keluar dari Chelsea sejak musim lalu. Real Madrid muncul pasukan yang berminat dengan khidmatnya dan spekulasi itu semakin kuat apabila baru-baru ini dia mendedahkan mahu meluangkan masa bersama anak-anaknya yang tinggal di ibu kota Sepanyol itu. Courtois tiba di Stamford Bridge dari Genk pada 2011 tetapi dipinjamkan selama tiga musim ke Atletico Madrid.

Benjamin Pavard

Pemain bek kanan berusia 22 tahun ini mencuri perhatian apabila menembusi kesebelasan utama Perancis dalam saingan Piala Dunia 2018, sekaligus mengetepikan saingan Djibril Sidibe dari AS Monaco. Situasi itu membuatkan Tottenham Hotspur bercadang untuk membawanya ke England walaupun telah memiliki Kieran Trippier dan Serge Aurier di posisi itu. Bagaimanapun, majikan Pavard, Stuttgart, menegaskan pemain yang dianggarkan bernilai GBP44 juta itu tidak akan dijual.