Piala Dunia 2018 Berita

Wartawan dari Brazil menerima pujian selepas memarahi lelaki yang cuba menciumnya di Russia

Bola sepak sememangnya masih menjadi sukan yang kurang sinonim buat wanita. Bukan setakat di atas padang, di luar padang juga menyaksikan golongan wanita kurang menerima penghormatan yang sepatutnya. Salah satu contohnya adalah kejadian yang menimpa Julia Guimaraes, wartawan dari Brazil ketika menjalankan tugasnya di Russia untuk Piala Dunia 2018.

Ketika Guimaraes sedang bersiap untuk membuat laporan kepada TV GLOBO dan SportTV antara Jepun lawan Senegal, seorang lelaki tiba-tiba menghampirinya dan cuba untuk menciumnya. Dia bernasib baik dapat mengelak tindakan lelaki itu dan terus memarahinya.

“Jangan lakukan perkara ini! Jangan laku kepada perkara seperti ini lagi. Anda tidak berhak. Ia tidak patut dan tidak sopan, jadi jangan lakukannya kepada seorang wanita! Tolong hormati mereka!”

Guimaraes lantas melepaskan geramnya menerusi akaun Twitter peribadi mengenai kejadian yang menimpanya itu.

“Sukar untuk saya berkata-kata mengenai kejadian ini… Saya bernasib baik tidak mengalaminya di Brazil. Namun, saya menerimanya dua kali di sini. Menyedihkan! Memalukan!”

Ya, ternyata bukan sekali Guimaraes mengharungi situasi seperti itu. Menurut pengakuannya di NDTV, wartawan ini diperlakukan tidak sopan ketika melakukan laporan aksi antara Russia dan Mesir. Dia juga menyatakan bahawa dirinya seiring menerima nyanyian yang tidak enak sepanjang bertugas di Russia.

Bagaimanapun, tindakan tegas dan garang Guimaraes ini mengundang banyak pujian daripada orang ramai. Ia dinilai sebagai satu tindakan yang tepat untuk menentang aksi lelaki itu dan boleh dijadikan contoh, bukan sekadar untuk wartawan wanita di dunia tetapi semua golongan perempuan.

Kejadian sama juga menimpa Julieth Gonzalez Theran, wartawan dari DW. Ketika bertugas di Moscow, dia dicium dan diganggu oleh seorang lelaki berjanggut.

Kejadian seperti ini semestinya tidak boleh diberi toleransi dalam bola sepak. Sudah tiba masanya untuk golongan wanita menikmati rasa aman dan meraih penghormatan yang sama ketika bertugas.