Luar Negara Piala Dunia 2018

Zlatan Ibrahimovic: Saya boleh bermain lebih baik daripada pasukan Sweden ini

Zlatan Ibrahimovic menyatakan bahawa menonton Sweden di Piala Dunia terasa “berbeza” kerana beliau boleh beraksi lebih baik berbanding pemain di Rusia ketika ini.

Sweden telah menewaskan Republik Korea (Korea Selatan) 1-0 dan kalah tipis 1-2 kepada juara bertahan, Jerman dalam aksi dramatik beberapa hari lalu. Kini menduduki tempat ketiga dalam Kumpulan F dan perlu memenangi aksi ketiga menentang Mexico.

Ditanya samada beliau berasa sukar dengan hanya menonton Sweden beraksi di Piala Dunia.

“Tidak.” katanya kepada ESPN.

“Pada awalnya, perlawanan pertama terasa berbeza kerana saya yakin saya mampu melakukannya dengan lebih baik berbanding mereka, sememangnya. Dan saya masih lagi merasakannya begitu.” tambah penyerang Los Angeles Galaxy itu lagi.

Ibrahimovic bersara daripada skuad kebangsaan Sweden pada tahun 2016 selepas kejohanan Euro, tetapi skuad Sweden berjaya layak ke Piala Dunia 2018 dengan agak bergaya tanpa beliau. Mereka mengalahkan Itali dalam aksi ‘play off’ dan nama Zlatan kembali muncul.

Lars Richt daripada Persatuan Bola Sepak Sweden telah mengeluarkan kenyataan: “Saya telah bercakap dengan Zlatan pada Selasa (24 April). Dia tidak mengubah fikirannya berkenaan bermain untuk skuad kebangsaan – tidak.”

Ibrahimovic yang melakukan 116 penampilan bersama Sweden berada di Rusia ketika ini namun bukan bersama-sama pasukan kebangsaan. Dia hadir bersama penaja-penajanya.

Sweden, tanpa Zlatan Ibrahimovic akan berentap dengan Mexico jam 10 malam ini waktu Malaysia.