Luar Negara Eropah

Koleksi transfer rumours terhangat di Eropah: 27 Jun 2018

Aksi Piala Dunia 2018 kini memasuki fasa terakhir peringkat kumpulan. Beberapa kelibat pemain muda atau baru dikenali ternyata telah menambat perhatian segenap peminat bola sepak dari seluruh dunia, seperti Aleksandr Golovin (Russia), Hirving Lozano (Mexico) serta Alireza Jahanbakhsh.

Situasi itu pastinya membuatkan beberapa pasukan kelab di Eropah mula mengintai peluang untuk memanggil beberapa pemain menyertai mereka. Ada yang masih diperlukan majikan lama dan ada juga yang hanya menunggu masa untuk dilepaskan. Berikut adalah lima transfer rumour terhangat di Eropah yang mungkin akan diselesaikan ketika musim panas nanti:

Sergej Milinkovic-Savic

Pemain tengah Serbia ini sedang mengharungi saingan Piala Dunia 2018 di Russia. Aksi cemerlang pada musim lalu bersama Lazio di pentas Serie A ternyata telah membuatkan pemain berusia 23 tahun ini menjadi rebutan beberapa kelab besar Eropah seperti Juventus dan Manchester United. Kini, Mundo Deportivo melaporkan juara LaLiga, Barcelona, turut berminat untuk mendapatkannya.

Marouane Fellaini

Fellaini bakal menamatkan kontraknya bersama Manchester United tidak lama lagi. Baru-baru ini, dia mendedahkan bahawa dirinya akan mengumumkan kemana hala tujunya sebaik sahaja kontrak sedia ada di Old Trafford tamat pada penghujung bulan ini, sekaligus membuatkan beberapa kelab di Eropah mula mengintai peluang untuk mendapatkannya. Sehingga kini, terdapat empat pasukan yang meminati corak permainan pemain tengah Belgium ini, iaitu Paris Saint-Germain (PSG), Arsenal, Besiktas dan AC Milan.

Daniele Rugani

Chelsea dikatakan telah memberikan tawaran bernilai GBP35 juta kepada Juventus untuk mendapatkan pemain bek tengah ini. Spekulasi itu dikuatkan dengan laporan mengatakan Maurizio Sarri bakal diumumkan selaku pengurus pasukan tidak lama lagi. Untuk rekod, dia hanya tampil dalam kesebelasan utama buat Bianconeri sebanyak 22 kali pada musim lalu bagi saingan LaLiga, membuatkannya memikirkan untuk meninggalkan Turin.

Erik Durm

Pemain pertahanan Borussia Dortmund ini dilaporkan semakin hampir untuk melengkapkan perpindahan ke Huddersfield Tow dan kini dalam proses untuk melalui sesi ujian kesihatan. Perpindahan itu dilihat mampu untuk dilakukan selepas pengendali The Terriers, David Wagner, pernah memiliki berpengalaman bersama Dortmund.

Gabriel Jesus

Penyerang utama Brazil di Russia 2018 ini kini dikaitkan dengan perpindahan ke Barcelona. Langkah itu tampak diambil oleh Barca selepas terlepas peluang untuk  membawa penggempur Atletico Madrid, Antoine Griezmann. Walaupun terlepas sebahagian besar aksi Liga Perdana Inggeris sebelum ini, dia tetap tampil cemerlang apabila mengisi ketiadaan Sergio Aguero yang ditimpa kecederaan, sekaligus menarik minat kelab gergasi Sepanyol itu.