Luar Negara Piala Dunia 2018

Jurulatih Senegal dedahkan rahsia kemenangan ke atas Poland

Jurulatih Senegal, Aliou Cisse mendedahkan di sebalik kemenangan pasukannya ke atas Poland 2-1 malam semalam adalah disiplin yang tinggi dalam kalangan pemain serta percaya dengan kemampuan diri sendiri.

Katanya, beliau tidak bersetuju sekiranya ada sesetengah pihak yang mengatakan Senegal menang hanya disebabkan kesilapan yang dilakukan oleh Poland.

“Senegal menang disebabkan disiplin yang tinggi.

“Kita dapat lihat pasukan Senegal yang mantap dan padu. Kami berjaya membuatkan mereka berada dalam keadaan tertekan.

“Setiap kali mereka melakukan kesilapan, kami berjaya memanfaatkannya. Kami berjaya membuatkan mereka keluar daripada zon selesa mereka pada separuh masa pertama,” katanya.

Tambah manis buat Cisse, beliau sendiri pernah mengetuai Senegal ketika menewaskan Perancis dalam perlawanan pertama Piala Dunia 2002 dan kini beliau kembali sebagai jurulatih dan mengulangi pencapaian tersebut.

Cisse yang beraksi di posisi tengah di England dan Perancis satu masa dahulu juga berdepan dengan kritikan hebat sejak mengambil alih tugas jurulatih tiga tahun lalu kerana dianggap mengambil pendekatan yang terlalu berhati-hati dan tidak memanfaatkan sepenuhnya bakat yang dimiliki pemain sayap Liverpool, Sadio Mane.

Mengulas lanjut, Cisse mengakui salah satu strateginya adalah mengawal pergerakan penyerang Poland, Robert Lewandowski.

“Senegal berjaya membuatkan Poland tidak dapat bermain dengan cara mereka. Pujian harus diberikan kepada pasukan…kami tahu Lewandowski adalah nadi utama mereka dan kami mengawalnya dengan baik,” katanya. – Reuters