Luar Negara Piala Dunia 2018

Jurulatih Mesir salahkan kecederaan yang dialami Mohamed Salah

Jurulatih Mesir, Hector Cuper menyalahkan kecederaan Mohamed Salah sebagai penyebab kekalahan 3-1 kepada Rusia, pagi tadi.

Katanya, walaupun Salah sudah boleh beraksi pada tahap 100 peratus, namun ketiadaannya sepanjang latihan pasukan sebelum Piala Dunia bermula menyukarkan beliau untuk membuat perancangan.

Salah beraksi buat pertama kali di Piala Dunia selepas mengalami kecederaan bahu pada perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah ketika beraksi dengan Liverpool.

Walaupun beliau menjaringkan gol menerusi sepakan penalti, kekalahan Mesir menyebabkan mereka di ambang penyingkiran.

“Apabila kita bercakap tentang 100 peratus, kita perlu melihat dari segi perubatan. Saya diberitahu oleh pasukan perubatan Salah sudah pulih.

“Tapi beliau tidak dapat mempersiapkan diri bersama kami dalam sesi latihan sebelum ini, beliau terpaksa berlatih seorang diri, saya percaya beliau berada dalam keadaan yang baik dan optimum.

“Jika beliau tidak cedera dalam final Liga Juara-Juara maka beliau akan mempunyai tempoh tiga minggu tambahan untuk menjalani latihan dengan kami sebagai satu kumpulan.

“Salah adalah penting, pemain penting untuk skuad, beliau sentiasa menjadi bahan rujukan kepada pemain lain.

“Tapi beliau mengalami kecederaan dan kami bimbang, kami tahu jika beliau pulih dengan cepat, ia akan menjadi satu perkara yang baik. Apa yang sedihnya saya berharap sangat dapat melihatnya berada dalam latihan pasukan.

“Sukar untuk mengatakan apa yang akan berlaku jika beliau berada di tahap terbaik tetapi saya selalu mengatakan bahawa di sebalik satu atau dua pemain yang hebat, perlunya ada sebuah pasukan,” katanya kepada Sky Sports.

Mesir akan tersingkir jika Uruguay menang terhadap Arab Saudi hari ini, lantas akan memberi tekanan kepada Cuper untuk terus memegang jawatannya sebagai jurulatih Mesir.

“Pertama sekali, sama ada saya akan kekal memegang jawatan ini ataupun tidak, perkara ini tidak hanya bergantung kepada saya.

“Jika mereka yang bertanggungjawab tidak berpuas hati dengan apa yang saya lakukan maka saya akan menjadi yang pertama untuk pergi. Tidak ada keraguan mengenai perkara ini.

“Tetapi kami masih mempunyai satu lagi perlawanan untuk bermain. Memang sukar tetapi di Piala Dunia, kita perlu menunggu sehingga minit terakhir, walaupun peluang kami adalah tipis,” katanya.