Piala Dunia 2018 Berita

Lima perkara menarik yang berlaku di pusingan pertama Piala Dunia 2018

Semalam berakhirlah pusingan pertama Piala Dunia dan bermulanya pusingan kedua bagi peringkat kumpulan Piala Dunia 2018. Kita sudah melihat 16 perlawanan berlangsung dengan begitu banyak gol dan aksi menarik yang berlaku.

Kejutan demi kejutan seperti Mexico menewaskan juara bertahan dan juga jaringan menarik seperti sepakan percuma Cristiano Ronaldo untuk mengikat Sepanyol telah berlaku di pusingan pertama. Ini lima perkara dan perlawanan menarik dalam pusingan pertama.

Langkah kanan Russia

Pasukan tuan rumah sebelum ini diragui kebolehan mereka dan dijangka akan bergelut untuk melepasi peringkat kumpulan sama seperti Afrika Selatan pada tahun 2010. Tapi oh betapa silapnya jangkaan itu. Russia dengan mudah membenam wakil Asia, Arab Saudi 5-0 dengan Aleksandr Golovin menjadi bintang dalam perlawanan tersebut.

Ronaldo tunjuk bisa

Pertembungan dua gergasi pertama untuk edisi kali ini. Juara Eropah berdepan juara Piala Dunia 2010. Ini adalah di antara perlawanan paling menarik dalam Piala Dunia kali ini. Dengan kedua-dua pasukan berbalas gol dan jaringan-jaringan yang dilakukan cukup menarik. Cristiano Ronaldo sekali lagi membalas kritikan dengan membantu Portugal mengikat Sepanyol dengan sepakan percuma yang cukup menarik.

Iceland ikat Argentina

Negara paling kecil di Piala Dunia mengumumkan ketibaan mereka di Piala Dunia buat kali pertama dengan hebat sekali. Ramai menjangka Iceland tidak akan dapat menyamai kejutan yang mereka lakukan di Kejohanan Eropah 2016 yang lalu, terutamanya ketika berdepan Argentina yang diketuai Lionel Messi. Namun, mereka berjaya mengikat Argentina dengan tendangan penalti Lionel Messi diselamatkan penjaga gol Iceland Haldorsson.

Juara bertahan tumbang di perlawanan pertama

Sepanyol pada tahun 2014, Itali pada tahun 2010, Perancis pada tahun 2002, dan mungkinkah sejarah akan berulang lagi buat pasukan yang mempertahankan kejuaraan Piala Dunia? Jerman dikatakan mampu mempertahan kejuaraan mereka dengan skuad yang cukup mantap dan menjuarai Piala Konfederasi menggunakan Pasukan B mereka. Namun, Mexico membuktikan bahawa mereka bukan calang-calang pasukan dan Hirving Lozano membantu mengejutkan juara bertahan itu. Adakah Jerman akan mengalami nasib yang sama seperti Sepanyol, Itali dan Perancis? Atau adakah mereka akan bangkit semula dalam perlawanan seterusnya?

Jepun menang ke atas Colombia dengan persembahan positif

Dalam Piala Dunia kali ini, kebanyakan pasukan Asia menggunakan taktikal bertahan dan cuba menyerang balas untuk berusaha mendapatkan mata. Ada yang berjaya seperti Iran ketika menentang Morocco dan ada yang gagal seperti ketika Korea Selatan menentang Sweden. Namun, Jepun membuktikan, pasukan Asia tidak perlu takut untuk bermain secara positif. Mungkin ada yang akan mengatakan Jepun hanya menang kerana Colombia beraksi dengan 10 orang, tetapi hakikatnya Colombia terpaksa mula beraksi dengan 10 orang pun kerana Jepun berani menyerang mereka dan mengejutkan pasukan Amerika Selatan itu dengan permainan positif mereka. Asia untuk Asia!