Luar Negara Piala Dunia 2018

Jurulatih Mexico dedah rahsia tumbangkan juara dunia Jerman

Jurulatih Mexico, Juan Carlos Osorio mendedahkan kejayaan pasukannya menewaskan juara bertahan, Jerman 1-0 dalam perlawanan pembukaan Kumpulan F Piala Dunia adalah hasil daripada perancangan yang dilakukan sejak enam bulan lalu.

Katanya, para pemainnya juga diterapkan dengan mentaliti bermain untuk menang berbanding takut untuk kalah.

“Kami mula membuat perancangan sejak enam bulan lalu dan terpaksa menukar beberapa pemain di beberapa posisi disebabkan kecederaan tetapi secara asasnya adalah kami menggunakan pemain yang pantas di bahagian sayap.

“Kami memutuskan untuk memberi kepercayaan itu kepada Hirving Lozano kerana beliau adalah pemain yang pantas. Kami tampil dengan corak serangan pantas dan mempunyai beberapa peluang bagi membuka tirai jaringan lebih awal sebenarnya,” katanya.

“Pada separuh masa pertama, kami berjaya bertahan dengan bijak dan menyerang Jerman dengan serangan balas.

“Saya merasakan bahawa separuh masa pertama perlawanan, kami adalah pasukan yang unggul. Kami tahu juara dunia Jerman, mempunyai pasukan yang cemerlang.

“Tetapi Mexico bermain dengan keberanian yang tinggi dan mereka juga bertahan dengan sepenuh hati dan semua pujian perlu diberikan kepada pemain,” katanya.

Selain memuji kesungguhan pemainnya, Osorio turut memberitahu kepada media bahawa beliau sanggup bertanggungjawab di atas semua kritikan yang dilemparkan.

Katanya, beliau akan cuba sedaya upaya untuk melindungi pemainnya daripada kritikan bagi membolehkan mereka fokus sepenuhnya terhadap perlawanan.

“Kata-kata semangat yang digunakan adalah bermain untuk menang dan tidak takut untuk kalah. Saya cuba untuk meletakkan semua tekanan di atas bahu saya bagi membolehkan pemain benar-benar fokus terhadap perlawanan.

“Mereka bersaing dengan baik dan mereka bertahan seperti menyelamatkan hidup mereka sendiri. Jika kami menang, pujian harus diberikan kepada pemain dan jika kalah saya bertanggungjawab sepenuhnya…itulah dunia bola sepak,” katanya. – AFP