Piala Dunia 2018 Berita

Mourinho ramal Senegal atasi Colombia, Poland dan Jepun di Piala Dunia 2018

Menjelang Piala Dunia, timbul ramai ‘pakar-pakar’ bolasepak yang akan meramal prestasi setiap pasukan yang akan bertanding. Ada yang membuat ramalan menggunakan statistik dan ada yang menggunakan emosi. Tetapi pastinya, ramai antara kita akan juga mendengar ramalan daripada pakar-pakar bolasepak.

Pengurus Manchester United, Jose Mourinho nampaknya juga menjadi peramal menjelang perlawanan peringkat kumpulan Piala Dunia. Ada beberapa ramalannya mungkin mengejutkan ramai orang.

Pengurus berbangsa Portugis itu membuat beberapa ramalan yang tipikal apabila memilih pasukan seperti England, Perancis, Argentina, Sepanyol dan Jerman untuk melepasi peringkat kumpulan. Tetapi, apa yang menakjubkan adalah dia juga memilih Australia dan Senegal untuk layak ke peringkat seterusnya. Bahkan, Mourinho memilih Senegal untuk menjadi pasukan teratas mengatasi pasukan seperti Colombia, Poland dan Jepun.

Selain itu, apa yang melucukan adalah Mourinho meramal pasukan Serbia untuk terkeluar di peringkat kumpulan kerana mahukan pemainnya, Nemanja Matic bercuti lebih awal supaya lebih cergas menjelang Liga Perdana Inggeris nanti.

Benar atau tidak ramalan Mourinho ini, semuanya akan terjawab bermula 14 Jun ini!