Piala Dunia 2018 Santai

Tribe Advisor: Lima ‘port’ menarik untuk menyaksikan Piala Dunia di Lembah Klang

Keghairahan Piala Dunia dirasai di seluruh dunia.

Bagi kita di Malaysia, tradisi yang biasa kita lakukan adalah menyaksikan perlawanan Piala Dunia di kaca TV. Bagi warga Lembah Klang, setiap kali Piala Dunia, pastinya kita akan berkumpul dan menyaksikan Piala Dunia di luar bersama rakan-rakan.

Tidak kira di Restoran Mamak, sports bar atau mana-mana kedai yang menayangkan perlawanan bolasepak, pastinya akan menjadi tumpuan ramai. Kami senaraikan lima tempat tumpuan untuk anda menyaksikan perlawanan Piala Dunia 2018 nanti. Jika anda rasa ada lagi tempat menarik, boleh cadangkan kepada kami!

NZ Wangsa Maju

Restoran Mamak yang pastinya terkenal di kalangan penduduk Wangsa Maju. Sering menjadi tumpuan anak muda untuk menyaksikan perlawanan bolasepak, pastinya NZ akan menjadi sambutan juga ketika Piala Dunia. Piala Dunia dan Teh Tarik? Kombinasi paling mantap!

The H at Hartamas

Selain Restoran Mamak, sekarang ada tempat-tempat makan yang mempunyai konsep food court dan mempunyai skrin besar untuk menonton perlawanan bolasepak. Antaranya adalah H For Hartamas. Tempat ini menyediakan skrin besar dengan aneka pilihan makanan dan minuman.

 

Restoran Hakim, Seksyen 7 Shah Alam

Anda duduk berdekatan dengan Shah Alam? Tiada lokasi yang lebih baik daripada Restoran Hakim di Seksyen 7! Skrin besar dijangka akan disediakan dan restoran ini memang cukup terkenal di kalangan para pelajar UiTM Shah Alam yang sering mencari tempat untuk menyaksikan perlawanan bolasepak

Rasta TTDI

Rasta suatu ketika dahulu merupakan tempat tumpuan anak muda untuk menyaksikan bolasepak. Biarpun sudah sedikit sepi, tetapi ketika Piala Dunia, tempat ini masih menjadi tumpuan anak muda yang mahu menyaksikan perlawanan bolasepak kegemaran mereka.

Restoran A-Malik Danau Kota

Apa yang membezakan restoran A-Malik dengan restoran lain adalah ianya terletak berdekatan dengan Uptown Danau Kota. Anda boleh berbelanja atau window shopping di antara perlawanan atau sebelum perlawanan. Selain itu, banyak gerai-gerai berdekatan yang menjual pelbagai makanan di sini.

Bonus: Dataran Merdeka dan Pawagam

Bila bercakap mengenai kawasan Lembah Klang, apa yang uniknya adalah peminat bolasepak di sini mempunyai dua pilihan tempat yang cukup menarik jika mahukan kelainan. Peminat bolasepak boleh memilih untuk menyaksikan perlawanan terpilih di Pawagam dan juga Dataran Merdeka. Kebiasaannya kawasan Dataran Merdeka akan penuh ketika perlawanan akhir dengan ramai peminat bolasepak membawa keluarga ke sini.