Malaysia

Apa salahnya jika kita berbangga dengan pencapaian Wan Kuzain?

Wan Kuzain Wan Kamal. Satu nama yang menjadi sebutan bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di Amerika Syarikat.

Anak muda ini telah mencipta nama di Liga Bolasepak Amerika Syarikat (MLS) apabila menjaringkan gol buat pasukannya, Sporting Kansas City ketika menentang Minnesota United. Jaringannya itu bukan sahaja disambut di Amerika Syarikat, tetapi juga kita di Malaysia.

Tetapi, di sebalik jaringan itu, timbul satu perdebatan di kalangan peminat bolasepak Malaysia, “Kenapa kita perlu kisahkan mengenai Wan Kuzain? Dia cuma berdarah Malaysia, tetapi warganegara USA.”

Perdebatan dan persoalan ini berlegar di media sosial pada masa yang sama dengan sorakan jaringan gol oleh anak muda ini.

Sebenarnya, tidak salah bagi kita untuk rasa berbangga dengan anak muda ini. Biarpun dia merupakan warganegara Amerika Syarikat dan lahir di sana, tetapi dalam darahnya tetap mempunyai darah Malaysia. Dia sendiri berbangga dengan darah Malaysia di dalam dirinya. Tambahan pula, Wan Kuzain bukan seperti pemain lain yang berdarah kacukan. Dia seorang remaja warganegara Amerika Syarikat dengan ibu bapa yang berasal dari Malaysia.

Dalam satu temuramah bersama Four Four Two, Wan Kuzain berkata: “ Walaupun saya lahir di USA, saya tetap dibesarkan sebagai seorang Melayu. Ibu bapa saya mengajar saya adat dan nilai Melayu sejak saya kecil. Saya membesar di sebuah bandar universiti dan ramai pelajar dari Malaysia di sana. Saya suka menyatakan bahawa saya sentiasa merupakan orang Malaysia, tetapi lahir di USA.”

Selain itu, impak yang ditunjukkan oleh Wan Kuzain sendiri membuktikan bahawa anak Malaysia sebenarnya mampu menjadi bintang bolasepak. Kita sering menyatakan bahawa pemain Malaysia tidak akan mampu bersaing dengan pemain luar, tetapi Wan Kuzain telah membuktikan, dengan pembangunan pemain muda yang betul, disiplin dan semangat yang tinggi, tiada yang mustahil untuk pemain dari Malaysia berjaya di luar negara.

Pemain yang digelar “Malaysian Messi” oleh kelab dan peminat bolasepak di Amerika Syarikat ini mungkin akan memilih untuk menyarung jersi Amerika Syarikat dan beraksi di Piala Dunia suatu hari nanti, tetapi tidak salah bagi kita di Malaysia untuk berbangga dan memberikan sokongan kepada anak muda ini. Adakah kerana dia lahir di Amerika Syarikat kita boleh terus menolak hakikat bahawa dia mempunyai darah Malaysia, di mana dia sendiri berbangga?

Apa yang kita boleh buat adalah hormati apa jua pilihan anak muda ini, dan terus berikan sokongan. Selain itu, Wan Kuzain boleh dijadikan inspirasi kepada pemain-pemain muda di Malaysia untuk lebih bersemangat mengejar cita-cita dan berjaya dalam bolasepak. Mungkin suatu hari nanti, kita akan dapat melahirkan lebih ramai Wan Kuzain di tanah air kita sendiri yang akan membawa nama Malaysia terkenal di mata dunia.