Piala Dunia 2018 Berita

Argentina batalkan perlawanan persahabatan bertemu Israel di Jerusalem

Setelah mendapat bantahan kuat bukan sahaja daripada rakyat Palestin, bahkan ramai lagi di seluruh dunia, Argentina telah membatalkan perlawanan persahabatan mereka menentang Israel beberapa hari sebelum tarikh di mana mereka sepatutnya sudah mendarat di Jerusalem.

Menurut laporan media antarabangsa, Persatuan Bolasepak Argentina (AFA) telah membatalkan perlawanan berkenaan kerana kerisauan terhadap keganasan dan kritikan yang lebih meluas oleh masyarakat antarabangsa.

Penyerang Argentina, Gonzalo Higuain dalam satu temuramah bersama ESPN telah menyatakan bahawa AFA telah membuat keputusan yang tepat dengan membatalkan perlawanan tersebut.

Setakat ini, tiada reaksi yang diterima daripada Persatuan Bolasepak Israel atau ahli politik di negara berkenaan. Namun, ada laporan menyatakan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu telah menghubungi Presiden Argentina, Mauricio Macri, untuk memujuk pasukan Argentina supaya tidak membatalkan kunjungan mereka.

Berita mengenai pembatalan ini telah disambut dengan meriah oleh penduduk Palestin dengan Persatuan Bolasepak Palestin telah mengeluarkan kenyataan bagi mengucapkan terima kasih kepada bintang Argentina, Lionel Messi dan rakan-rakannya kerana membatalkan perlawanan tersebut.

Perlawanan di antara Argentina dan Israel ini telah mencipta kontroversi apabila ia dijadualkan berlangsung di barat Jerusalem. Penduduk Palestin mahukan kawasan timur bandar berkenaan untuk dijadikan pusat pemerintahan suatu hari nanti yang termasuk kawasan Semenanjung Gaza dan Tebing Barat yang dicerobohi Israel.

Perlawanan itu sebelum ini dirancang berlangsung di Haifa, tetapi pihak berkuasa Israel telah membuat sumbangan supaya perlawanan tersebut diadakan di Jerusalam. Perkara ini menimbulkan rasa tidak puas hati Palestin, terutamanya selepas Presiden Amerika Syarikat mengakui bahawa Jerusalem adalah ibu negara Israel dan memindahkan kedutaan mereka di sana.