Malaysia Liga Super Malaysia

Terajui FAS, ini reaksi Raja Muda Selangor

Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah mahu Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) melakukan perubahan secara menyeluruh bagi mengembalikan zaman kegemilangan Selangor.

Katanya, perubahan drastik harus dibuat dan beliau percaya inilah masa yang paling sesuai untuk semua pihak bersatu untuk membina kembali FAS.

“Bagaimanapun, langkah-langkah penambahbaikan tidak dilihat sama sekali. Saya menegaskan bahawa perubahan menyeluruh perlu dilakukan demi kebaikan jangka masa panjang FAS, di mana proses perubahan ini pasti akan mendapat tentangan dan mungkin dihalang oleh sesetengah pihak.

“Namun, saya ingin menekankan bahawa ini bukannya masa untuk mengadu domba atau pun mencari kesalahan silam.

“Sememangnya hal ini akan mengambil masa, akan tetapi dengan pasukan yang sesuai dan sokongan padu yang diterima terutamanya daripada penyokong, saya tidak meragukan pasukan kesayangan rakyat negeri Selangor ini dapat mencapai kegemilangan seperti dahulu kala,” katanya menerusi akaun Instagram rasminya.

Mengulas lanjut, Tengku Amir Shah juga bersedia menerima tanggungjawab menyandang jawatan sebagai Presiden FAS dan menjadi wakil kepada rakyat Selangor untuk membawa lebih banyak kejayaan dan menambah kepada kekayaan sejarah pasukan Selangor.

“Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Sekiranya semua pihak berkepentingan terutamanya penyokong Gergasi Merah Kuning bersedia untuk bersama saya melalui onak dan duri perjalanan, saya sedia untuk berkhidmat demi cinta terhadap Selangor dan rakyatnya.

“Saya teruja dan bersemangat untuk memulakan perjalanan ini bersama semua,” katanya.

Tambahnya, beliau sentiasa mengikuti perkembangan berkaitan FAS sama ada dalam atau di luar padang.

“Dikaitkan sekali lagi untuk menyandang jawatan presiden persatuan ini adalah satu penghormatan dan saya sangat teruja dengan kemungkinan tersebut.

“Sejak dua tahun kebelakangan ini, saya banyak memberi fokus terhadap pembangunan bola sepak akar umbi dan liga-liga sosial di sekitar Selangor menerusi pertubuhan bukan kerajaan, Komuniti Belia Selangor.

“Melaluinya, saya melihat sendiri potensi yang dimiliki Selangor,” katanya.