Malaysia Liga Super Malaysia

Do Dong Hyun sah sertai Terengganu FC I

Nampaknya bulan Ramadhan membawa sinar kepada bekas pemain Kelantan, Do Dong Hyun.

Do Dong Hyun yang menyertai Kelantan pada musim ini daripada UiTM FC kini telah secara rasmi diumumkan menyertai Terengganu FC I bagi saingan Liga Super 2018.

Pemain Korea Selatan itu akan menggantikan tempat Bruno Suzuki yang akan diturunkan kembali ke Terengganu FC II bagi menggantikan tempat seorang lagi pemain import dari Korea Selatan, Lee Jun Hyeob yang dilepaskan oleh pihak pengurusan Terengganu FC.

Dong Hyun merupakan antara pemain import Kelantan yang terpaksa dilepaskan ekoran masalah kewangan yang dihadapi mereka. Selepas meneliti tawaran-tawaran yang diberikan oleh kelab-kelab yang menunjukkan minat ke atasnya, dia akhirnya memilih untuk menyertai skuad kendalian Irfan Bakti.

Pemain berusia 24 tahun itu dijangkan akan membantu Kipre Tchetche di bahagian serangan Terengganu dalam perlawanan menentang PKNS FC pada malam esok. Skuad penyu pastinya mahu bangkit selepas tewas 0-3 kepada Kuala Lumpur dalam perlawanan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

Terengganu kini berada di tangga kelima Liga Super, 11 mata di belakang pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’azim (JDT).