Malaysia Liga Super Malaysia

Tiba-tiba patah kaki, PKNP terpaksa cari import baharu

Malang tidak berbau. Jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fadzim baru sahaja merancang untuk menyenaraikan import baharunya, Karl Max Barthelemy dalam kesebelasan utama namun apakan daya apabila pemain itu tiba-tiba berdepan dengan kecederaan yang serius.

Malah, ia melibatkan keretakan pergelangan kakinya dan disebabkan itu penyerang Chad yang juga dikenali sebagai Dany itu tidak dapat diturunkan ketika PKNP FC turun menentang Pahang di Stadium Perak baru-baru ini.

“Malang bagi kami kerana tidak dapat menurunkan Dany. Pergelangan kakinya patah ketika menjalani latihan terakhir bersama pasukan.

“Bagaimanapun ejen pemain itu berjanji untuk mencari penggantinya,” katanya kepada Berita Harian.

Dalam perlawanan tersebut, Abu Bakar terpaksa menyaksikan anak buahnya tewas 1-2 di tangan Pahang.

Katanya, ketiadaan beberapa pemain utama banyak menjejaskan corak permainan pasukan walaupun sudah melakukan beberapa rombakan.

“Kemampuan kami tidak mencukupi untuk mengatasi Pahang. Walaupun bermula baik tetapi sedikit kelekaan di penghujung perlawanan menyebabkan kami dihukum.

“Pemain sudah mencuba bersungguh-sungguh tetapi apakan daya kami bertemu lawan yang handal. Ini pengajaran baik buat pemain bagi menghadapi saingan seterusnya,” katanya.