Piala Dunia 2018 Kajian & Analisis

Previu Costa Rica di Piala Dunia 2018: Kisah manis 2014 yang mahu diulangi Los Ticos

Kejutan adalah satu perkara yang sering dinantikan di Piala Dunia. Empat tahun lalu, Costa Rica mencuri tumpuan apabila melangkah ke suku akhir, sekaligus muncul pencapaian terbaik dalam sejarah.

Berada dalam kumpulan yang turut dibarisi tiga juara dunia iaitu Uruguay, England serta Itali, Costa Rica yang dikendalikan Jorge Luis Pinto ketika itu menjadi juara kumpulan tanpa tewas walaupun satu perlawanan. Bahkan, mereka tidak dibolosi seewaktu berdepan Itali, England serta Belanda, pasukan yang menewaskan mereka di suku akhir.

Ketika ini, di bawah kendalian Oscar Ramirez, Los Ticos diharapkan dapat mengulangi sejarah sama. Ia berat tetapi mereka berkeyakinan tinggi. Jika sebelum ini barisan gergasi dunia dapat disingkirkan, mengapa kali ini tidak mampu?

Barisan pemain

Ramirez sudah mengumumkan senarai 23 pemain yang akan ke Russia pada 14 Mei lalu. Jika melihat senarai itu, Ramirez bukan sekadar melihat kualiti tetapi turut mengambil kira pengalaman pemainnya. Ini kerana hampir semua nama yang dibariskan telah memperkuatkan pasukan dalam dua tahun terakhir.

Hanya tidak pemain sahaja yang masih mencapai jumlah 20 penampilan buat Los Ticos iaitu Leonel Moreira (8), Daniel Colindres (10) serta pemain paling muda, Ian Smith (1). Purata usia pemain dalam pasukan juga agak tinggi, iaitu 29.1 tahun.

Kekuatan

Costa Rica amat hebat dalam mengamalkan corak permainan menerus, mempertaruhkan hantaran terus ke depan terutamanya ketika serangan balals. Selain itu, dua bahagian sayap juga menjadi kekuatan untuk mencipta serangan, tidak kira diakhiri dengan hantaran lintang atau hantaran pendek untuk kembali merobek bahagian tengah.

Seperkara lagi, mereka amat hebat dalam situasi bola mati. Jika anda melihat kesemua gol yang dijaringkan ketika aksi kelayakan akhir zon CONCACAF, semua gol dijaringkan melalui tiga cara itu. Ringkas tetapi efektif dan efisien.

Kelemahan

Walaupun menampilkan lima bek, Costa Rica tetap mudah dibolosi terutamanya pasukan besar. Ketajaman barisan depan juga tidak menggembirakan. Mereka mencatat 21 gol tetapi dibolosi 18 jaringan dalam 19 aksi terakhir sudah pasti memberi masalah yang sukar diselesaikan. Selain itu, formasi 5-4-1 yang boleh dikatakan tidak diubah suai dalam beberapa tahun terakhir membuatkan mereka mudah dibaca.

Mereka juga memiliki catatan buruk sewaktu bertemu lawan dari Eropah kebelakangan ini. Dalam masa sama, dua lawan mereka di peringkat kumpulan juga datang dari Eropah. Faktor itu tampak menjadi alasan utama mengapa mereka memilih Ireland Utara, England dan Belgium sebagai aksi pemanas badan sebelum bermulanya Piala Dunia. Hasil yang diraih sudah pasti mampu menjadi pengukur sejauh mana kebolehan mereka.

Pemain utama: Keylor Navas

Kecekapannya di gawang Costa Rica pada empat tahun lalu membuatkan Real Madrid mendapatkan khidmatnya. Sejak itu, dia menjadi penjaga gol utama bersama El Real. Gelaran Liga Juara-Juara Eropah selama tiga tahun berturut-turut membuktikan kemampuannya. Mentaliti juara ini diharapkan dapat dikekalkan bersama rakan sepasukan skuad kebangsaan.

Navas sememangnya tidak memiliki rekod tidak dibolosi yang boleh dibanggakan tetapi dia jelas mampu melakukan aksi tangkas yang sukar dalam aksi-aksi penitng. Kemampuannya menangkis bola sepakan penalti juga diakui dan ia amat berharga jika Costa Rica ke pusingan kalah mati.

Jangkaan formasi

Ramirez kerap menggunakan pendekatan 4-5-1. Bahkan, hampir pasti bahawa formasi itu akan digunakan di Piala Dunia 2018.

Navas akan mengungguli posisi penjaga gol utama, tatkala barisan pertahanan di depannya akan terdiri daripada lima orang pemain iaitu Bryan Oviedo dan Cristian Gambo di bahagian sayap sambil Kendall Waston, Oscar Duarte dan Johnny Acosta akan beraksi selaku bek tengah. Giancarlo Gonzalez dan Francisco Calvo akan menjadi pilihan jika terdapat pertukaran.

Bagi barisan tengah, pemain yang akan menjadi harapan di tengah padang adalah David Guzman dan Celco Borges, manakala dua orang pemain veteran, Bryan Ruiz yang juga kapten pasukan bersama Christian Bolanos akan diletakkan di kiri dan kanan. Jika Bolanos direhatkan, Ruiz akan ke kanan dan bahagian kiri akan diisi oleh Rodney Wallace atau Daniel Colindres. Marco Urena kemungkinan besar akan beraksi selaku penyerang tunggal.

Peluang di Piala Dunia 2018

Tiada pihak lagi yang akan meragukan Los Ticos  selepas apa yang berlaku empat tahun lalu. Apatah lagi, mereka kini tidak berada dalam kumpulan maut. Kecuali Brazil, lawan lain iaitu Serbia dan Switzerland boleh dikatakan seimbang. Peluang untuk ke pusingan kedua tampak cerah, terutamanya sebagai naib juara kumpulan.

Namun, jika mereka melepasi peringkat kumpulan, keinginan untuk mengulangi kejayaan empat tahun lalu tampak berat tatkala lawan yang berpotensi ditemui adalah juara bertahan, Jerman, namun ia tidak mustahil jika mereka menjelmakan kejutan baru yang menggemparkan bola sepak dunia.