Luar Negara Eropah

Tidak dapat Maurizio Sarri, Chelsea mahukan bekas jurulatih Muangthong United

Chelsea ketika ini berada dalam keadaan terdesak untuk mencari jurulatih yang berkaliber bagi mengemudi pasukan pada musim hadapan.

Sebelum ini, kelab London itu sudah pun mengadakan perbincangan rasmi dengan jurulatih Napoli, Maurizio Sarri dan beliau hampir pasti menjadi jurulatih baharu pasukan tersebut.

Namun disebabkan Napoli mahukan pampasan kontrak bernilai £7 juta pound, Chelsea membatalkan hasratnya untuk mendapatkan jurulatih dari Itali itu.

Kini, Chelsea beralih arah kepada Slavisa Jokanovic, bekas pemainnya sendiri yang ketika ini sedang mengendalikan Fulham dan berjaya membawa pasukan itu ke Liga Perdana Inggeris musim ini menerusi perlawanan penentuan menewaskan Aston Villa 1-0.

Latar belakang Jokanovic sebagai jurulatih sangat sederhana malah beliau pernah menjadi jurulatih untuk Muangthong United pada tahun 2012 dan menjuarai Liga Thailand serta menjadikan pasukan itu ‘Invincibles’, langsung tidak tewas pada musim itu.

Setakat ini, Chelsea masih belum membuat sebarang perbincangan mendalam dengan mana-mana jurulatih namun Jokanovic adalah antara calon utamanya, diikuti dengan Laurent Blanc.

Napoli sudah pun mempunyai Carlo Ancelotti sebagai jurulatih baharu manakala Sarri pula dikatakan telah meninggalkan pasukan itu tetapi luar biasanya, beliau masih mempunyai kontrak dengan Napoli sehingga 2020.

Presiden Napoli, Aurelio De Laurentiis ternyata seorang yang terlalu sukar untuk berunding, meskipun Sarri sendiri berminat untuk ke Chelsea malah De Laurentiis sendiri memberikan jaminan bahawa beliau seorang yang mudah untuk dibawa berbincang.

Chelsea juga telah membuat panggilan rasmi kepada Luis Enrique, namun beliau masih belum bersedia untuk kembali menjadi jurulatih untuk mana-mana pasukan.

Antonio Conte pula dijangka akan meninggalkan Chelsea dan akan mendapat pampasan kontrak sebanyak £9 juta bagi membatalkan kontrak setahunnya.