Malaysia Liga Super Malaysia

Kelantan diambang penyingkiran, ini cadangan Annuar Musa

Walaupun Tan Sri Annuar Musa sudah lama meninggalkan pengurusan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), beliau sentiasa berminat dengan perkembangan pasukan yang dibinanya satu masa dahulu.

Malah, beliau memberi seribu satu cadangan kepada Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan bagi memastikan Kelantan kekal dalam Liga Super untuk musim hadapan.

Beliau mahu Bibi segera menguatkan pasukan selepas banyak kutukan dan “takiran” terhadap pengurusan KAFA, khasnya ditujukan kepada Presiden KAFA itu sendiri.

“Sebagai orang yang pernah melalui sedikit sebanyak asam garam bola Klate, saya berpendapat kita semua harus bersabar dan berlaku adil kepada mereka yang secara jujur dan sanggup bersukarela menghidupkan bola Klate.

“Tugas ini bukan sahaja tidak mudah tapi juga tidak ramai yang mahu memikul tanggungjawab. Masing masing melepaskan diri dan mencari helah.Waktu menang ramai memuji, bila gagal ramai mencaci dan budi tidak dikenang lagi,” katanya menerusi laman Facebook peribadinya.

Namun beliau berkeyakinan Kelantan pasti akan mencapai kejayaan jika berfikiran positif, bersatu dan tolong-menolong, bukannya menjatuhkan satu sama lain.

“Bibi perlu segera lakukan sesuatu sebab Kelantan sudah hilang karakter dan imej asalnya tetapi kita belum terlambat. KAFA mesti pastikan Kelantan tidak turun ke Liga Perdana kerana saya bina Kelantan untuk menjadi jenama di Liga Super.

“Segera bawa import penyerang yang bagus, penyumbat gol, cari pemain sayap Asean segera. Patrich Wanggai dari Indonesia boleh, pemain Vietnam boleh tapi pemain menggunakan kaki kiri adalah satu kelebihan.

“Pemain tengah yang kreatif sangat perlu. Pemain tempatan terlalu ramai yang muda, perlukan pemain-pemain berpengalaman sebagai tulang belakang.

“Saya sudah hubungi pihak pengurusan, saya sekadar mahu Kelantan bangkit tapi saya tentunya tak boleh campur, sekadar membantu dan memberi dorongan. insya-Allah The Red Warriors bangkit semula,” katanya.