Luar Negara Eropah

Arsene Wenger ke Real Madrid?

Selepas Zinedine Zidane mengumumkan peletakan jawatan sebagai jurulatih Real Madrid secara mengejut, ramai pemerhati bola sepak tertanya-tanya siapakah jurulatih yang boleh menggantikannya.

Nama-nama yang disebut sebagai pengganti antaranya jurulatih Liverpool, Jurgen Klopp, jurulatih Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino dan bekas jurulatih Arsenal, Arsene Wenger.

Namun yang agak mengejutkan apabila Arsene Wenger sendiri mengakui Real Madrid sudah beberapa kali mahukan khidmatnya sebelum ini namun beliau terpaksa menolaknya kerana komitmennya dengan Arsenal.

Tetapi pada masa yang sama, beliau juga tertarik untuk menguruskan pasukan segah Real Madrid.

“Masa Arsenal bina stadium dan bank minta saya tandatangan untuk lima tahun, masa itulah saya tolak tawaran pertama Real Madrid, saya fikir, tidak, mana boleh saya buat begitu, ia akan mengkhianati kelab saya.

“Saya rasa saya tolak dua tiga kali Real Madrid. Ia salah satu pasukan yang saya suka sejak kecil. Cuma masa ditawarkan, keadaan masa itu agak sensitif untuk Arsenal.

“Saya selalu rasa tertarik untuk ke Real Madrid…,” katanya kepada BeIN Sports.

Beliau sudah menerima pelbagai tawaran, tetapi beliau tidak mahu tergesa-gesa membuat keputusan.

“Teruja rasanya sebab saya akan diuji kembali, ini yang saya mahukan dalam hidup, sebab saya adalah seorang pesaing yang suka dicabar.

“Saya tidak tahu apa akan terjadi, tetapi saya sekarang berada di muka surat kosong dan saya perlu menulis bab yang seterusnya,” katanya.