Malaysia Liga Super Malaysia

Malaysia perlu sistem pencarian bakat bertaraf antarabangsa, kata Nik Nazmi

Ketua Pemuda Pakatan Harapan, Nik Nazmi Nik Ahmad menganggap Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) sudah menunjukkan pencapaian luar biasa dalam membangunkan bakat pemain tempatan dari peringkat akar umbi namun situasi ini cukup berbeza dengan pembangunan akar umbi yang dibuat kebanyakan persatuan bola sepak negeri dan kelab-kelab sedia ada di negara ini.

Katanya, pemain-pemain NFDP dilihat cukup menyerlah di kejohanan peringkat antarabangsa malah menyebabkan ada di kalangan pemain pasukan itu berjaya menarik minat kelab-kelab Eropah yang menyaksikannya.

“Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari kini telah menetapkan standard yang diperlukan terutamanya untuk skuad elit bola sepak. Dikhabarkan beberapa ahli skuad akademi ini telah menarik perhatian kelab gergasi Eropah, ini cukup membanggakan.

“Kita perlu teliti semula struktur pembangunan bola sepak akar umbi dan jika boleh memperluaskan modul latihan NFDP sehingga ke akademi persatuan bola sepak negeri dan kelab-kelab yang bersaing dalam liga tempatan.

“Antara yang boleh diusahakan juga adalah dengan menempatkan pelatih dan jurulatih NFDP di persatuan bola sepak negeri agar nilai latihan boleh diterap dengan lebih baik,” katanya kepada Kosmo!

Setelah lebih lima tahun dilaksanakan, NFDP mempunyai lebih 25,000 pelatih dan lebih 1,000 jurulatih di seluruh Malaysia dan ini merupakan perkembangan baik bagi mencapai sasaran 50,000 pelatih pada tahun 2020.

Selain itu, Nik Nazmi menambah, apa yang paling penting adalah aspek pencarian bakat melalui satu sistem pencarian bakat.

Katanya, penglibatan sekolah-sekolah serta akademi bola tempatan amatlah penting malah bakat-bakat kampung dan pemain bola sepak jalanan juga perlu diberikan perhatian.

“Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) digalakkan memberi kerjasama dalam hal ini dengan menyediakan insentif pembangunan bola sepak akar umbi untuk persatuan bola sepak negeri dan kelab-kelab bola sepak, di samping memperkukuhkan kerjasama dengan liga-liga komuniti.

“Malaysia perlu membentuk satu ‘scouting system’ bertaraf antarabangsa agar tiada bakat yang terlepas.

“Jika Malaysia hendak mencapai aspirasi untuk ke Piala Dunia, kita tidak boleh berpuas hati hanya dengan bakat yang ada. Bakat haruslah digilap dalam satu ekosistem kesukanan yang baik,” katanya.