Malaysia Liga Super Malaysia

Kedah bersedia turunkan lima pemain import malam ini

Ketua Jurulatih Kedah, Mohd Nidzam Adzha Yusof cukup berpuas hati apabila dapat menurunkan kelima-lima pemain importnya bagi perlawanan menentang Selangor dalam saingan Liga Super malam ini.

Lima pemain import iaitu Paulo Rangel, Liridon Krasniqi, Andik Vermansyah, Sandro da Silva dan Alvaro Silva dijangka akan memastikan kemenangan berpihak kepada Kedah.

Katanya, berbeza dengan keadaan sebelum ini yang mana Sandro terpaksa direhatkan dalam dua perlawanan sebelum ini selepas mengalami kecederaan, manakala Andik baharu sahaja turun beraksi serta Rangel yang akhirnya dapat menyertai Kedah dengan lebih awal.

“Kita lihat kesemua import akhirnya dapat beraksi bersama menentang Selangor, setakat ini semuanya berada dalam keadaan baik dan bersedia untuk diturunkan termasuk Rangel.

“Saya juga memang ingin turunkan kesemua pemain import dalam kesebelasan utama sebelum ini tetapi ada di antara mereka yang cedera dan ada yang digantung perlawanan.

“Dalam perlawanan kali ini kita perlukan kesebelasan yang terbaik kerana Selangor sudah berjaya meningkatkan prestasi mereka berbanding sebelum ini. Kita tidak boleh melihat rekod sebelum ini kerana mereka juga pastinya mahukan tiga mata penuh kali ini.

“Jadi saya harap semua pemain akan memberikan sepenuh perhatian dan tidak melakukan kesilapan dan tidak leka di atas padang nanti. Setiap perlawanan adalah penting untuk kita mendapat tiga mata,” katanya kepada mStar Online.

Tambah Nidzam, pemain tempatan Kedah yang dibarisi oleh mereka yang berpengalaman dan terbaik juga berada dalam keadaan cergas untuk diturunkan.

“Gabungan kekuatan antara pemain import dan tempatan termasuk muda dan senior pasti akan dapat memberi peluang kepada Kedah untuk pulang dengan kemenangan,” katanya.