Piala Dunia 2018 Kajian & Analisis

Previu Mesir di Piala Dunia 2018: Harapan sebuah negara di tangan Mo Salah

Dalam saingan bola sepak Afrika, Mesir adalah sebuah pasukan gergasi yang dahsyat. Ia dibuktikan oleh negara yang terkenal dengan Sungai Nil ini apabila menjulang Piala Afrika sebanyak tujuh kali, sekaligus menjadi jumlah terbanyak.

Bagaimanapun, kekuatan Mesir tidak terbukti apabila dikaitkan dengan pentas lebih tinggi seperti Piala Dunia. Sepanjang sejarah kejohanan, The Pharaohs hanya pernah melayakkan diri ke dua edisi iaitu pada 1934 dan 1990.

Lebih menyedihkan, ketika dalam dua kejohanan itu, Mesir tersingkir di pusingan awal setelah gagal mencatat sebarang kemenangan.

Selepas kali terakhir beraksi di Piala Dunia 1990, Mesir sering gagal merebut tiket ke pentas berprestij dunia itu. Laluan mereka di peringkat kelayakan sering terkandas di zon Afrika apabila tidak mampu mengatasi kehebatan negara pesaing lain seperti Cameroon, Nigeria dan Ivory Coast.

Usaha tanpa putus asa akhirnya membuahkan hasil selepas tiga dekad. Mohamed Salah dan rakan sepasukan yang dibimbing oleh Hector Cuper telah memastikan kedudukan mereka di puncak Kumpulan E aksi kelayakan zon Afrika pusingan ketiga. Hasilnya, The Pharaohs layak ke Russia secara automatik.

Kewujudan Salah selaku bintang utama juga membuatkan Cuper memiliki keyakinan yang tinggi untuk mengukir sejarah di Piala Dunia 2018 nanti.

Bayangan skuad

Sehingga kini, The Pharaohs baru mengumumkan skuad awal yang terdiri daripada 29 orang pemain. Selain Salah, terdapat beberapa orang pemain yang beraksi di Liga Perdana Inggeris seperti Mohamed Elneny dan Ahmed Hegazy.

Cuper sendiri dilihat cuba memanfaatkan aksi pemanas badan bertemu Kuewait, Colombia dan Belgium sebelum memilih senarai akhir 23 orang pemain. Melihat skuad awal, boleh dikatakan pengendali dari Argentina itu ingin menggabungkan elemen pengalaman dan semangat pemain muda dalam pasukannya.

Kekuatan

Secara keseluruhan, asas utama Mesir dalam beberapa tahun terakhir adalah terletak pada pemain yang beraksi di England seperti tiga nama yang disebutkan tadi. Malah, ketiga-tiga pemain itu beraksi di tiga bahagian yang berbeza. Hegazy menjadi watak utama di bahagian benteng sementara Elneny mengawal jentera tengah. Di bahagian depan, Salah pastinya menjadi tumpuan utama The Pharaohs untuk memanfaatkan peluang yang terhidang.

Jika trio ini dapat menampilkan aksi terbaik di Piala Dunia 2018 sambil dibantu rakan sepasukannya, Mesir jelas dapat melangkah jauh.

Kelemahan

Kelibat Salah di dalam skuad Mesir seperti satu permata kerana penampilan hebatnya sehingga membolehkan The Pharaohs beraksi di tahap terbaik dalam sesebuah perlawanan. Namun, apabila Salah tidak diturunkan, persembahan skuad kendalian Cuper merosot dengan teruk seperti kehilangan arah.

Situasi itu pastinya akan cuba digunakan sebaiknya oleh lawan dalam peringkat kumpulan (Arab Saudi, Russia, Uruguay) untuk merobek pasukan bimbingan Cuper. Bahkan, pengurus itu sendiri akan buntu mencari penyelesaian sekiranya kelibat Salah dirantai oleh lawan.

Pemain utama

Kemungkinan besar ramai yang tidak menyangkan perpindahan Mohamed Salah ke Liverpool pada awal musim 2017/18 menjadi sebuah kisah yang epik.

Sejak menyarung jersi The Reds di bawah bimbingan Jurgen Klopp, Salah berubah menjadi seorang pemain yang begitu buas di depan gawang lawan. Secara keseluruhan tanpa mengira aksi final Liga Juara-Juara Eropah, Salah telah mengutip 44 gol dan 16 bantuan jaringan daripada 51 penampilan.

Jadi, tidak menjadi satu kejutan apabila harapan besar penyokong Mesir terletak di bahunya untuk membawa cabaran The Pharaohs di Piala Dunia 2018 dengan cemerlang. Mungkin sehingga ke peringkat suku akhir.

Jangkaan formasi

Melihat kepada sebahagian besar perlawanan sebelum ini, mereka gemar menggunakan 4-2-3-1 atau 4-3-3 sebagai pilihan oleh Cuper untuk mendapatkan keputusan positif. Walaupun sudah berusia 45 tahun, kelibat Essam El Haddary tidak boleh dipandang rendah tatkala didepannya bakal diisi oleh Mohamed Abdel Shafy, Ahmed Fathy, Ali Gabr dan Hegazy.

Di bahagian tengah, dua pemain bertahan dipertaruhkan dan akan dibarisi oleh Elneny bersama Tarek Hamed sementara Salah, Ramadhan Sobhi dan Trezeguet (nama sebenarnya Mahmoud Ibrahim Hassan) akan menjadi pendorong buat penyerang utama yang berseorangan di barisan depan, Ahmed Hassan Mahgoub.

Peluang di Piala Dunia 2018

Berada dalam Kumpulan A bersama Arab Saudi, Uruguay dan Russia yang merupakan tuan rumah, Mesir tetap berpeluang untuk mara ke pusingan kedua. Namun, perlu diingat bahawa aksi bertemu Uruguay akan menjadi penentu kepada laluan mereka.

Mendapatkan keputusan positif dalam perlawanan pertama akan menjadikan segalanya mudah buat Mesir dalam aksi seterusnya. Kini, untuk mencatatkan sejarah layak  ke suku akhir kejohanan buat pertama kali dalam rekod penyertaan Mesir di Piala Dunia bukan lagi sesuatu yang mustahil.