Malaysia Liga Super Malaysia

Selepas dikecam teruk, pemain import Perak akhirnya dilepaskan

Jurulatih Perak, Mehmet Durakovic akhirnya bertindak menamatkan kontrak pemain importnya, Misagh Bahadoran dalam jendela perpindahan kedua kerana kecewa dengan prestasinya.

Katanya, beliau sebolehnya tidak mahu menyingkirkan pemain Filipina itu tetapi prestasinya yang tidak memuaskan memaksanya berbuat demikian.

“Jika boleh saya tidak mahu singkirkan sesiapa tapi berapa lama lagi saya boleh mempertahankan kedudukannya.

“Sebagai pemain import dia sepatutnya mampu memberi sumbangan berkesan kepada pasukan.

“Apa maknanya jika kemampuannya sama sahaja dengan pemain tempatan,” katanya kepada Berita Harian.

Tambah Durakovic, beliau sudah lama menyedari tahap prestasi Bahadoran tetapi tetap memberikan peluang kepada pemain itu dengan harapan beliau akan berubah.

“Cukuplah. Saya dah beri peluang yang cukup kepadanya. Saya dikecam teruk peminat kerana mempertahankan kedudukan pemain itu.

“Saya bukan buta tapi terdapat kekangan menyebabkan saya tidak boleh berbuat apa-apa,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Durakovic optimistik terhadap peluang Perak meraih kemenangan apabila mereka turun menentang PKNP FC di Stadium Perak, malam ini.

Ini berikutan kehadiran semula tiga tonggak, Gilmar Jose Da Silva, Amirul Azhan Aznan dan Nazirul Naim Che Hashim selepas tidak dapat beraksi menentang Terengganu dalam perlawanan sebelum ini.

Perak mempunyai misi untuk merampas semula tangga kedua selepas tewas 2-0 kepada Terengganu selain menyaksikan Pahang menumpaskan Kuala Lumpur 4-0 semalam menyebabkan pasukan Tok Gajah itu kini berada di tempat kedua dengan kelebihan satu mata sahaja.