Malaysia Liga Super Malaysia

Mampukah Sharbinee menjadi jawapan kepada masalah penjaga gol Kuala Lumpur?

Dalam saingan Liga Super, Kuala Lumpur kini merupakan pasukan paling banyak bolos di antara semua pasukan.

Setakat ini Kuala Lumpur sekadar mencatat satu sahaja perlawanan tanpa bolos, iaitu ketika menentang Johor Darul Ta’azim (JDT) di Cheras.

Antara yang menjadi punca kepada kegagalan Kuala Lumpur mengawal gawang mereka daripada dibolosi lawan adalah kesilapan penjaga gol.

Setakat 12 perlawanan yang berlangsung, Kuala Lumpur sudah menggunakan tiga orang penjaga gol iaitu Kamarul Effandi, Solehin Mamat dan Khatul Anuar. Ketiga-tiga penjaga gol telah membuat kesilapan mudah yang memberikan gol mudah kepada pihak lawan.

Bagi mengatasi perkara ini, Kuala Lumpur dikhabarkan telah menawarkan kontrak kepada bekas penjaga gol Terengganu, Sharbinee Allawee untuk memperkuat skuad mereka.

Sharbinee sebelum ini telah digugurkan oleh Terengganu dan sudah sebulan berlatih bersama Kuala Lumpur. Kehadiran bekas penjaga gol kebangsaan ini cukup disenangi ketua jurulatih Kuala Lumpur, Fabio Maciel.

Sebelum ini Kuala Lumpur pernah dikaitkan dengan penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat. Tetapi Khairul Fahmi telah memilih untuk menyertai Melaka United.

Persoalannya, adakah Sharbinee jawapan kepada masalah Kuala Lumpur? Agak aneh melihat ketiga-tiga penjaga gol Kuala Lumpur membuat kesilapan mudah dalam perlawanan. Kamarul Effandi pada musim lalu cukup mantap dalam membantu Kuala Lumpur naik ke Liga Super. Solehin dan Khatul pula dua penjaga gol muda yang mempunyai potensi tinggi. Mungkinkah corak latihan penjaga gol perlu ditukar?

Melihat pada aksi Solehin ketika menentang Pahang, agak jelas kelihatan dia kurang keyakinan terutamanya ketika situasi set piece. Dia gagal menjangka pergerakan bola dan menumbuk lemah ketika bola tepat ke arahnya.

Mungkin juga Sharbinee boleh menurunkan ilmunya kepada Khatul dan Solehin dan membantu mereka untuk menjadi penjaga gol yang lebih baik untuk Kuala Lumpur.

Selepas kesilapan Solehin, Kamarul dan Khatul, mungkinkah kita akan melihat Sharbinee berada di gawang Kuala Lumpur dalam perlawanan menentang Terengganu pada Sabtu depan? Pastinya satu perkara hebat jika dia dapat membantu Kuala Lumpur menewaskan pasukan lamanya.