Malaysia Kajian & Analisis

Analisis: Kedah tumbangkan Pahang, Ramadhan bukan penghalang Liridon beraksi cemerlang

Saingan unifi LIGA SUPER 2018 bersambung pada malam ini setelah berehat seketika pada permulaan awal Ramadhan. Perlawanan ke-11 kali ini menemukan Kedah dan Pahang di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah.

Pengadil yang bertugas pada malam ini ialah Muhammad Nazmi Bin Nasaruddin. Skuad kendalian Nidzam Adha turun dengan formasi 4-5-1 manakala Pahang pula mempertaruhkan formasi 4-4-2. Seawal minit pertama, kedua-dua pasukan tampak seimbang dengan saling mengawal permainan dan melakukan percubaan untuk membolosi gol pasukan lawan.

Namun, pasukan tuan rumah dilihat lebih yakin dalam mengatur permainan dengan melakukan beberapa serangan balas diketuai Liridon Krasniqi. Jaringan kekal 0-0 sehingga Kedah dihadiahkan sepakan percuma pada minit ke-45. Badrol Bakhtiar tenang menyempurnakan sepakan itu untuk memberikan Kedah mendahului 1-0 sebelum ke bilik persalinan.

Bersambung separuh masa kedua, kedah dan Pahang meneruskan aksi dengan kedua-dua pasukan lebih agresif menyerang untuk merobek gol lawan. Kedua-dua jurulatih juga melakukan pertukaran pemain bagi meningkatkan lagi peluang untuk menambahkan jaringan. Masing-masing berjaya melakukan serangan yang memaksa Ifwat Akmal dan Helmi Eliza bekerja keras untuk mempertahankan gawang daripada dibolosi pihak lawan.

Berbaki beberapa minit sebelum masa penamat, Kedah melancarkan satu “counter attack” dengan Akhyar Rashid melakukan larian bermula tengah padang sebelum melorongkan bola kepada Liridon Krasniqi untuk menewaskan Helmi Eliza. Tamat masa permainan, Kedah berjaya menggenggam 3 mata berharga dengan skor akhir 2-0.

Berikut merupakan beberapa pemerhatian kami sepanjang perlawanan tersebut:

Liridon Krasniqi menguasai bahagian tengah Kedah
Pemain Kosovo ini dilihat mencuri tumpuan ramai dengan aksi-aksi yang memukau terutamanya pada separuh masa pertama. Beberapa serangan balas pasukan Lang Merah ini dimulakan oleh Liridon Krasniqi dengan larian dan hantaran yang mampu menggugat pasukan pelawat. Hantaran yang dibuat oleh beliau samada pendek atau jauh seringkali berjaya menemui rakan-rakannya sekaligus merancakkan lagi permainan pasukan Kedah. Aspek kawalan bola oleh beliau juga harus diberi pujian.

Issey Nakajima perlukan lebih masa untuk beraksi cemerlang

Bekas import Terengganu ini melakukan debut untuk pasukan Tok Gajah pada malam ini. Umum tahu, beliau telah lama tidak bermain dalam perlawanan kompetitif sejak hujung tahun lepas. Hal ini sedikit sebanyak merencatkan permainan beliau terutamanya dalam beberapa aspek teknikal seperti hantaran yang tidak kemas, larian yang tidak efektif dan juga kurang keserasian dengan pemain lain. Namun, Issey dilihat cuba mempamerkan beberapa idea-idea kreatif dalam serangan seperti "through ball" dan "create space" untuk rakan sepasukannya.
Andik Vermansyah tidak efektif sebagai "lone striker"
Untuk perlawanan kali ini, Nidzam Adha menurunkan pemain import Indonesia ini untuk bermain sebagai penyerang tunggal dalam sistem 4-5-1. Berbeza dengan perlawanan sebelum ini menggunakan Akhyar Rashid, Andik dilihat bergelut untuk menjayakan tugasan tersebut. Walaupun mempunyai kelincahan dan larian yang laju, beliau tidak mampu bersaing dengan fizikal pemain pertahanan Pahang. Tambahan pula, "positioning" beliau juga mudah dibaca oleh pihak lawan menjadikan hantaran-hantaran dilakukan rakan sepasukan mudah dipatahkan oleh Muslim Ahmad dan rakan-rakan.

Akhyar Rashid semakin menyerlah di posisi penyerang tunggal "false nine"

Masuk pada minit ke-56 menggantikan Andik Vermansyah. Beliau tidak menunggu lama untuk memberikan satu kelainan buat pasukan Kedah menyerang. Beberapa gerakan yang bertenaga oleh beliau merancakkan lagi permainan pasukan Lang Merah. Kemuncaknya, pada minit ke-89, beliau membuat satu larian untuk "counter attack" sebelum melorongkan bola yang cantik buat Liridon Krasniqi menghasilkam gol kedua.

Patrick Cruz kehilangan "link-up" dengan rakan sepasukan

Nama Patrick Cruz menjadi bualan ramai sebelum ini ekoran prestasinya yang cemerlang. Rekod golnya juga dicanang pelbagai pihak media dan menjadi pengganti ideal Forkey Doe untuk mengetuai serangan Pahang. Namun, pada malam ini, serba tidak menjadi dilihat pada susuk tubuh pemain import Brazil ini. Beliau dilihat berkeseorangan dalam melakukan serangan. Rakan sepasukan pula dilihat kurang melakukan hantaran kepada Patrick Cruz dan kebanyakan masa tidak dapat mencarinya. Berkemungkinan, ini berpunca daripada kemasukan 2 pemain baharu yang dilihat masih lagi mencari keserasian dengan rakan-rakan sepasukan yang lain.