Malaysia Liga Super Malaysia

Kelab Thailand buatkan Kedah cemas

Nampaknya penyokong Kedah terpaksa menunggu dengan lebih lama sebelum melihat Paulo Rangel beraksi dengan jersi hijau kuning.

Menurut sumber dalaman Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), pasukannya sebelum ini iaitu kelab Thailand, Nakhon Ratchasima FC mahu Rangel turun beraksi untuk kali terakhir dalam saingan Liga Thai menentang Chiangrai United, Sabtu ini.

“Tempoh lanjutan itu meresahkan Kedah kerana kita tahu tempoh perpindahan akan ditutup pada 3 Jun ini dan pelepasan di saat akhir nanti boleh mengundang risiko daripada segi tempoh pendaftaran di pihak kita.

“Kita difahamkan tempoh liga untuk pusingan pertama di Thailand adalah sehingga hujung bulan ini dan di pihak kita pula terpaksa mengejar masa kerana proses pendaftaran pemain pada jendela perpindahan di Malaysia akan tamat pada 3 Jun ini,” katanya kepada Berita Harian.

Katanya lagi, KFA bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk mencari pemain import lain walaupun sudah menyediakan dokumen dan kontrak untuk Rangel yang sepatutnya tiba pada 20 Mei lalu.

“Kita juga terpaksa bersedia dengan beberapa calon lain yang ada dalam perancangan kita sebelum ini dalam menghadapi apa sahaja kemungkinan yang bakal diputuskan nanti.

“Saya berharap penyokong faham keadaan ini, kita menerima pemain yang berminat untuk menyertai pasukan kita tetapi pada masa yang sama beliau masih terikat kontrak dengan pasukan lain.

“Kita masih menunggu lampu hijau dari kelab berkenaan dan sebarang perkembangan lanjut akan kita maklumkan secepat mungkin,” katanya.