Luar Negara Eropah

Pembelian yang harus dilakukan pasukan-pasukan gergasi Eropah untuk musim depan

Musim ini telah hampir berakhir dan jendela perpindahan musim panas tentunya dinantikan oleh kebanyakan pasukan untuk meningkatkan kualiti. Jadi, apa yang harus dilakukan oleh barisan gergasi Eropah untuk menjadikan mereka sebuah pasukan lebih baik?

Manchester United – Bek Kanan

Antonio Valencia kini sudah semakin berusia dan dia tidak begitu merbahaya ketika melakukan serangan, sementara Matteo Darmian akan meninggalkan pasukan tatkala Ashley Young bukan seorang pemain pertahanan yang asli. Posisi sayap pertahanan tentunya menjadi fokus The Red Devils di jendela perpindahan dengan Marcelo dan Elseid Hysah menjadi calon terbaik.

Manchester City – Pertahanan Tengah

Yaya Toure sudah pasti akan meninggalkan pasukan dan Ilkay Gundogan dilihat lebih banyak bertindak sebagai pemain box-to-box. Fernandinho menjadi satu-satunya pemain tengah bertahan dalam skuad. Pemain dari Brazil itu bermain baik dalam dua aksi terakhir, namun City harus mencari pengganti sekiranya dia mengalami kecederaan atau kad merah. Fred dari Shaktar Donetsk dan Marco Verratti mampu menjadi pilihan yang bijak.

Arsenal – Pengurus

Salah satu agenda yang harus dilaksanakan Arsenal sudah pasti mendapatkan pengurus baru. Arsene Wenger mengakhiri tempoh 22 tahun bersama The Gunners dan pihak pengurusan akan mencari pengganti yang sepadan atau lebih baik berbanding pengendali dari Perancis itu. Mereka tidak boleh mencari pengganti secara sambil lewa dan Massimiliano Allegri serta bekas pemain, Mikel Arteta, menjadi pilihan yang perlu dipertimbangkan.

Chelsea – Penyerang

Alvaro Morata tampak tidak mampu memenuhi jangkaan dan harapan yang diberikan terhadapnya sebaik sahaja tiba di Chelsea bagi menggantikan tempat Diego Costa. Morata dikhabarkan akan kembali ke Juventus dan itu bermaksud mereka tidak akan mempunyai penyerang berkualiti yang mencukupi untuk bersaing di Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara Eropah musim depan. Ciro Immobile dan Mauro Icardi boleh menjadi pengganti buat Morata.

Liverpool – Pertahanan Tengah

Liverpool sebenarnya sudah mencukupi jumlah pemain pertahanan tengah. Namun, Joel Matip sering ditimpa kecederaan, Dejan Lovren terlalu kerap melakukan kesilapan, sambil Ragnar Klavan masih kekurangan pengalaman di pentas Eropah. The Reds harus bijak mencari gandingan terbaik buat Virgil Van Dijk, membuatkan James Tarkowski dan Clement Lenglet dilihat sebagai calon yang sesuai untuk membolehkan Liverpool meriah banyak gelaran.

Juventus – Penyerang

Juventus harus mencari penyerang yang lebih dinamik berbanding Gonzalo higuain. Mereka memerlukan penyerang yang berbisa untuk menghadirkan kemenangan dalam aksi Liga Juara-Juara. Robert Lewandowski semestinya mampu melengkapkan keperluan The Old Lady atau mereka juga boleh cuba membawakan kembali Alvaro Morata ke Turin.

Internazionale Milano – Bek Kiri/Kanan

Selepas era Maicon dan Christian Chivu, Inter Milan tidak lagi memiliki pemain sayap pertahanan yang mantap. Tidak ada lagi pemain yang dapat membuatkan permainan Inter lebih dinamik dan hebat ketika bertahan atau menyerang. Selain itu, gaya permainan Luciano Spalletti juga banyak bergantung kepada bahagian sayap. Joao Cancelo dan Kwadwo Asamoah mampu melengkapkan pasukan Inter.

AC Milan – Penyerang

Walaupun sudah berbelanja besar pada awal musim ini, AC Milan masih kebuntuan penyerang yang bagus. Mereka memerlukan penyerang yang mampu mencatat 20 gol atau lebih dalam semusim. Milan ketika ini tidak ada penyerang seperti itu, berbeza dengan pesaing di atas mereka dalam kedudukan liga. Edin Dzeko atau Duvan Zapata mungkin dapat menghadirkan 20 jaringan buat Milan.

Barcelona – Playmaker/Penyerang

Salah seorang pemain termahal mereka, Ousmane Dembele, dilihat tidak mampu menggantikan peranan Neymar yang berhijrah ke Paris Saint-Germain (PSG). Pemergian Andres Iniesta juga membuatkan bahagian tengah Barca memerlukan suntikan baru. Antoine Griezmann dijangka mampu menggantikan Neymar sementara Mesut Ozil boleh menjadi pengganti buat Iniesta.

Real Madrid – Penyerang

Kegagalan Real Madrid di LaLiga musim ini disebabkan kekurangan penyerang yang mantap dalam pasukan. Prestasi Karim Benzema menyebabkan banyak kritikan diberikan kepadanya dan Madrid harus mencari penggempur yang boleh menjaringkan banyak gol jika mahu bersaing dengan Barcelona. Neymar dilaporkan akan ke ibu kota Sepanyol, namun  Robert Lewandowski juga mampu menjadi pilihan tambahan.

Bayern München – Bek kiri

Bayern Munich harus mencari seorang lagi pemain pertahanan kiri bagi menggantikan David Alaba sekiranya pemain Austria itu ditimpa kecederaan. Calon yang difikirkan juga harus sepadan dengan Alaba. Bayern telah memiliki Rafinha tetapi dia kurang meyakinkan sewaktu diturunkan dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah bertemu Real Madrid. Phillip Max dan Alex Sandro boleh menjadi pilihan buat Die Roten.