Dikenali sebagai salah sebuah negara yang menjadikan bola sepak sebagai teras utama dalam kehidupan, Brazil sudah pasti memiliki sejumlah besar bakat-bakat hebat di arena bola sepak. Terlalu ramai pemain yang lahir dari negara Samba, termasuk yang berada dalam pasukan kebangsaan mereka, beraksi di pentas liga-liga Eropah, menjadikannya begitu terkenal dan kompetitif. Lebih hebat, mereka kini menjadi taruhan utama pasukan-pasukan hebat di Asia
Sebagai contoh, nama Casemiro dan Marcelo kini membarisi skuad Real Madrid (Sepanyol), Neymar dan Thiago Silva bersama Paris Saint-Germain (Perancis), Ederson mewakili Manchester City (England) dan Joao Miranda yang bersama Inter Milan (Itali).
Dalam masa sama, Eropah bukan satu-satunya destinasi yang menjadi pilihan buat pemain-pemain dari Brazil. Setelah dikaji, Asia juga menjadi pilihan utama buat mereka untuk membuktikan kemampuan dan mencuba nasib.
Berdasarkan kajian lembaga peneliti bola sepak dari Switzerland, International Centre of Sport Studies (CIES) Observatory yang berpengkalan di kota Neuchatel, mereka mendapati bahawa kira-kira 306 orang (bertambah 14 orang berbanding catatan pada 2017) pemain bola sepak dari Brazil beraksi di liga-liga Asia pada tahun 2018.
Menurut kajian itu, pentas Liga J1 atau liga tertinggi di Jepun merupakan destinasi utama mereka. Daripada 18 pasukan yang bertanding pada musim ini, cuma Sagan Tosu dan V-Varen Nagasaki yang tidak mempunyai pemain asing dari Brazil sementara 16 pasukan lagi memiliki sekurang-kurangnya seorang pemain berasal negara Amerika Latin itu.
Jika kita melihat senarai pemain import di Malaysia, ramai yang dibawa masuk daripada Brazil. Sebagai contoh, Perak mempunyai tiga pemain Brazil, iaitu Gilmar, Wander Luiz dan Leandro dos Santos. Johor DT pula kini memiliki dua pemain import – Marcos Antonio dan Jorge Santos Silva. Secara keseluruhan, terdapat 15 pemain Brazil yang kini beraksi di Liga Super Malaysia.
Walaupun sama-sama berasal dari Asia, pemain bola sepak profesional dari Korea Selatan berada di tangga kedua, mengekori Brazil untuk beraksi di serata asia Asia. Statistik mencatatkan bahawa seramai 76 orang pemain (bertambah 10 berbanding 2017) dari negara Ginseng yang diberikan kontrak oleh pasukan kelab dari Asia sambil majoriti daripada mereka juga beraksi di Liga J1 pada 2018.
Melengkapkan senarai di kedudukan ketiga, Sepanyol menjadi negara seterusnya selepas Brazil dan Korea Selatan di liga-liga Asia dengan jumlah 67 orang pemain pada 2018 (bertambah 18 orang berbanding tahun lalu). Apa yang membezakan, pemain-pemain dari Matador lebih banyak beraksi di Liga Super India (ISL), salah satu daripada dua liga utama (bersama I-League) di Negara Anak Benua.