Liga Super Malaysia Berita

MFL: Melaka United, Sarawak United berdepan larangan perpindahan, pemotongan mata

Melaka United dan Sarawak United berdepan larangan perpindahan pada 1 Februari ini jika pembayaran tunggakan gaji tidak dilangsaikan sebelum 31 Januari ini, kata CEO MFL, Stuart Ramalingam.

Ini selepas Melaka United dilaporkan berdepan tunggakan gaji tiga bulan, manakala Sarawak United masih dalam proses untuk menyelesaikan tunggakan gaji pemain.

“Jadual pembayaran (tunggakan) seterusnya adalah 31 Januari,” kata Stuart dalam sidang media semalam.

“Langkah-langkah seterusnya jikalau Melaka United tidak melaksanakan pembayaran penuh atau tidak mendapat persetujuan bersama semua pemain dan pegawai yang masih berhutang, larangan perpindahan pemain akan dikuatkuasakan pada 1 Februari secara automatik sehingga semua bayaran dilunaskan.

“Sarawak United diberi tempoh 14 hari untuk langsaikan, kalau gagal, pemotongan mata akan bermula, bukan sahaja larangan perpindahan lepas itu kita duduk senyap, tetapi selepas 14 hari, pemotongan mata bermula.”

Beliau turut menyangkal dakwaan bahawa Melaka United adalah ‘anak emas’ kepada MFL.

“Kalau Melaka anak emas MFL, saya tak rasa mereka berdepan dengan pemotongan mata sejak dua musim lalu.

“Kita akan memastikan ada tindakan diambil, bukan sahaja kepada Melaka tetapi kepada tiga pasukan yang mempunyai tunggakan sebelum liga bermula.

“Daripada 22 pasukan bertanding tahun ini hanya tiga pasukan mengalami tunggakan pada hujung tahun lalu iaitu Perak, Sarawak dan Melaka.

“Perak…kami tahu sudah tahu ada pengurusan baharu, saya berhubung dengan CEO baharu setiap minggu, mereka sudah menjalankan tugas dengan baik dalam proses pengambilalihan dan menangani isu tunggakan dengan profesional.

“Sarawak hujung tahun ada hutang dengan 39 pemain dan pegawai, 15 daripadanya dibayar penuh, hanya 3 individu belum lagi menandatangani perjanjian bersama, 14 hingga 19 pemain ada perjanjian bersama.

“Kita juga bekerjasama rapat dengan PFAM untuk memastikan isu-isu gaji diselesaikan secepat dan sebaik mungkin.”