Liga Super Malaysia Berita

MFL pantau pembayaran gaji pasukan Liga Malaysia hingga 30 Sept bermula tahun ini

Bermula tahun ini, MFL akan memantau pembayaran gaji pasukan Liga Malaysia sehingga 30 September bagi musim 2022.

Keputusan itu dibuat bagi mengenal pasti pasukan yang mula tidak membayar gaji selepas menyerahkan dokumen kewangan yang perlu dihantar pada 30 Jun setiap tahun.

“Kita sudah menggerakkan satu peraturan yang akan dirasmikan dalam dokumen iaitu club licensing regulation 2022 untuk lesen 2023,” kata CEO MFL, Stuart Ramalingam.

“Di mana kita anjakkan daripada 30 Jun kepada 30 September.”

Beliau menjelaskan, MFL menetapkan 30 September sebagai tarikh akhir penyerahan dokumen kewangan kerana pihaknya perlu menghantar laporan kepada AFC pada 30 Oktober untuk mendapatkan lesen kebangsaan.

“30 September ini bukan hujung musim, sebab pada 30 Oktober, MFL perlu menyerahkan nama-nama kepada AFC untuk lesen kebangsaan.

“Kita mesti melengkapkan proses pelesenan pada 30 September ini supaya boleh diserahkan kepada AFC, itu deadline kita.

“Jadi, kita tak dapat buat sampai hujung November, ya memang akan ada gap, tetapi kita sentiasa cuba menambah baik setiap dua tiga bulan dengan kerjasama PFAM.

“Ini juga adalah permintaan dari PFAM sendiri, dengan kelulusan ahli lembaga pengarah dan jawatankuasa FIB untuk tambah tempoh masa pemantauan bayaran gaji.”