Malaysia Liga Super Malaysia

Harry Novillo dedahkan sebab tolak tawaran kelab lain untuk menyertai Johor Darul Ta’zim

Pemain import baharu JDT, Harry Novillo memilih pasukan Harimau Selatan kerana kualiti dan kelebihan yang ada dalam pasukannya jika dibandingkan dengan pasukan-pasukan lain di Liga Super.

Katanya, walaupun menerima beberapa tawaran daripada pasukan lain dalam Liga Super, melihat kepada keistimewaan yang terdapat di JDT, beliau tiada sebab untuk menolak tawaran daripada juara Liga Super empat kali berturut-turut itu.

“Saya ada dapat tawaran daripada beberapa pasukan dari Malaysia, tapi saya rasa kalau saya sertai pasukan lain, mesti saya ini gila.

“Saya ada impian untuk bermain dengan pasukan terbaik dan kelab ini mempunyai segala-galanya dari segi penyokongnya, suasananya dan aspek professionalisme,” katanya kepada Fox Sports Asia.

Tambah Novillo, meskipun baru menyertai JDT, beliau tidak mahu mengambil masa terlalu lama untuk menyesuaikan diri sebaliknya beliau mahu membantu JDT sebanyak yang mungkin bagi meraih kejuaraan liga.

“Sebagai pemain baharu, orang akan mengkritik jika tidak bermain dengan bersungguh-sungguh.

“Tidak kira kamu dari mana, asalkan fokus dan bekerja keras, kamu akan berjaya. Ketika ini, tiada pasukan yang sebagus JDT.

“Empat kejuaraan liga dan akan ada lagi menyusul, ini sesuatu yang luar biasa. Tidak ada masa sebenarnya untuk menyesuaikan diri sebabnya enam bulan telah berlalu dan terlalu lambat dan ada misi untuk diselesaikan. Saya harus menunjukkan keupayaan diri secepat mungkin,” katanya.