Liga Super Malaysia Berita

Pra Perlawanan: Fajr Ibrahim kembali ke Kelantan, Kuala Lumpur hilang Fabio dan De Paula

Menjelang perlawanan di antara Kelantan menentang Kuala Lumpur di Kota Bharu malam ini, nasib berbeza dialami oleh kedua-dua pasukan.

Ketua jurulatih Kelantan, Fajr Ibrahim yang pada mulanya meletakkan jawatan telah melakukan pusingan U apabila kembali ke skuad untuk perlawanan ini.Perkara ini disahkan oleh Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan. Fajr sebelum ini dikatakan meletakkan jawatan selepas kecewa dengan pihak pengurusan KAFA.

Di sebalik kembalinya Fajr Ibrahim, Kelantan telah kehilangan ramai pemain-pemain senior dan beberapa pemain import. Pemain-pemain seperti Badhri Radzi dan Khairul Fahmi sudah disahkan akan dilepaskan di jendela perpindahan kedua sementara Nor Farhan Muhamad, Ferdinand Sinaga dan Bruno Lopes telah dilepaskan. Seorang lagi pemain import, Do Dong Hyun juga dikhabarkan akan menerima nasib yang sama.

Selepas lapan perlawanan berlangsung, Kelantan tewas lima perlawanan dan sekadar memungut lima mata. Satu-satunya kemenangan Kelantan adalah ketika menentang Perak di Stadium Sultan Muhammad IV.

Bagi Kuala Lumpur pula, mereka pastinya sedang memiliki motivasi yang cukup tinggi selepas menewaskan PKNS 2-1 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur pada hari Rabu yang lalu. Namun, berita buruk diterima oleh City Boys selepas ketua jurulatih Fabio Maciel dan penyerang import, Guilherme De Paula digantung perlawanan ekoran insiden yang berlaku ketika perlawanan Piala FA pertama menentang Selangor. Dalam perlawanan tersebut, De Paula dilayangkan kad merah kerana cuba menumbuk Abdul Halim Zainal, sementara Fabio pula diarahkan meninggalkan bangku simpanan kerana mencekik dan menolak Amri Yahyah.

Namun, Kuala Lumpur telah menunjukkan bahawa mereka boleh menang tanpa De Paula, apabila menang ke atas Selangor 3-0 dalam perlawanan suku akhir kedua Piala FA. City Boys setakat ini telah menjadi ‘Giant Killer’ dalam saingan Liga Super selepas menewaskan JDT, Kedah, PKNS serta berjaya mengikat Pahang.

Kuala Lumpur kini berada di tangga ke lapan Liga Super selepas memungut 10 mata daripada lapan perlawanan. Melihat pada aksi City Boys setakat ini, dapat dirumuskan bahawa mereka mempunyai kekuatan di bahagian serangan tetapi kurang mantap di bahagian pertahanan. Setakat ini kemenangan City Boys adalah menerusi lebih jaringan berbanding pasukan lawan. Satu-satunya aksi di mana Kuala Lumpur berjaya mengelak daripada bolos di Liga Super adalah ketika menentang JDT.