Asia Asian Cup

Misi berbeza tiga wakil Asia Tenggara di Piala Asia 2019

Misi sukar untuk Filipina di Piala Asia 2019.

Selepas undian peringkat kumpulan Piala Asia 2019, Filipina telah diundi bersama gergasi Asia Korea Selatan dan China serta Kyrgyzstan menjelang Piala Asia yang akan berlangsung di Emiriah Arab Bersatu pada 5 Januari hingga 1 Februari tahun depan.

Filipina mencipta kejutan apabila berjaya melayakkan diri ke Piala Asia buat kali pertama mengatasi pasukan-pasukan Asia Tenggara seperti Malaysia, Indonesia dan Singapura.

Selain Filipina, misi sukar juga bakal dihadapi oleh Vietnam. Vietnam telah diletakkan di dalam Kumpulan D bersama Iran, Iraq dan Yemen.

Satu lagi wakil Asia Tenggara, Thailand pula dilihat mampu layak ke peringkat seterusnya apabila diletakkan di Kumpulan A bersama tuan rumah UAE, Bahrain dan India.

Biarpun dilihat sukar, tetapi masih ada peluang untuk Filipina dan Vietnam ekoran pengenalan format baru Piala Asia yang akan mula digunakan untuk edisi kali ini.

Selain daripada dua pasukan terbaik, empat pasukan tempat ketiga terbaik juga mampu melayakkan diri ke peringkat seterusnya. Oleh itu, Filipina dan Vietnam perlu sekurang-kurangnya menang satu perlawanan dan menunjukkan aksi mantap dalam baki dua lagi perlawanan untuk melayakkan diri.

Vietnam pastinya boleh mengambil inspirasi daripada skuad bawah 23 tahun mereka yang berjaya melayakkan diri ke perlawanan akhir Piala AFC bawah 23 tahun yang lalu. Filipina pula boleh dikatakan sudah mencapai kejayaan selepas layak ke Piala Asia. Thailand pula perlu sekali lagi menunjukkan kepada semua pasukan Asia Tenggara bahawa mereka masih lagi raja Asia Tenggara.