Malaysia Liga Super Malaysia

Usah kecam KAFA, pemain muda perlu menjadi tunjang kebangkitan The Red Warriors

Tanggal 17 September 2017 menyaksikan Puan Bibi Ramjani Ilias Khan telah terpilih untuk menjawat jawatan sebagai Presiden KAFA untuk penggal 2017/2021. Tujuh bulan kemudian, beliau sedang berusaha keras untuk memastikan pasukan bola sepak Kelantan masih boleh beroperasi sambil melangsaikan sejumlah hutang-hutang tertunggak. Terbaharu, Puan Bibi mengambil keputusan untuk menamatkan kontrak beberapa pemain sebagai salah satu langkah untuk mengurangkan perbelanjaan pasukan. Persoalannya, adakah langkah menamatkan kontrak pemain-pemain tertentu ini akan memberikan impak yang positif dalam operasi pasukan bola sepak Kelantan pada masa akan datang?

Menerusi pengamatan penulis sepanjang 7 bulan memerhatikan pentadbiran Puan Bibi, saya percaya bahawa langkah beliau untuk menamatkan kontrak beberapa pemain serta memberikan lampu hijau buat ketua jurulatih, Fajer Ibrahim untuk menyuntik darah-darah muda daripada skuad Presiden dan Belia pasukan Kelantan akan meletakkan Kelantan dalam landasan yang betul untuk memastikan pasukan bola sepak Kelantan akan kekal beroperasi dengan kewangan yang kukuh dan stabil serta meletakkan asas kepada dasar memandang ke masa hadapan dengan memudakan skuad utama pasukan bola sepak Kelantan.

Mengulas mengenai penamatan kontrak beberapa pemain seperti S Veenod, Bruno Lopes, Ferdinand Sinaga dan Ahmad Sukri, pemain-pemain ini dikhabarkan menerima gaji yang agak tinggi. Memandangkan pemain dalam bola sepak Malaysia ini kebiasaannya menandatangani kontrak selama setahun, maka agak logik sekiranya pemain-pemain tersebut dibatalkan kontrak serta-merta dengan persetujuan bersama supaya boleh melepaskan pemain-pemain tersebut menandatangani kontrak bersama pasukan lain dengan segera.

Norfarhan Muhammad pula dibenarkan untuk menyertai pasukan dalam Liga FAM secara pinjaman. Selain pemain import seperti Mohamad Ghaddar, Cassio Jesus dan Do Dong-Hyun yang bergaji tinggi, mereka juga masih mempunyai Morgaro Gomis yang tidak didaftarkan serta L’Imam Seydi yang ketika ini dipinjamkan kepada MIFA. Tetapi berlainan pula dengan Badhri Radzi dan Khairul Fahmi kerana kontrak mereka bersama Kelantan masih berbaki lebih daripada 1 tahun, maka Kelantan mahu mencari pasukan yang berminat serta boleh membayar yuran untuk meraih pulangan pendapatan menerusi bayaran yuran perpindahan kedua-dua pemain tersebut.

Berkenaan pemain-pemain muda pula, pasukan Kelantan mempunyai bakat-bakat muda yang cukup banyak di mana mereka ini lebih daripada mampu untuk menggalas tugas dalam skuad utama pasukan Kelantan. Ini juga belum dikira bakat-bakat muda yang telah dibazirkan dengan membiarkan mereka berpindah ke pasukan lain kerana terdapat halangan secara tidak langsung dalam laluan mereka ke skuad utama pasukan Kelantan.

Melihatkan prestasi pemain-pemain yang membarisi kesebelasan utama pasukan Kelantan untuk perlawanan menentang Negeri Sembilan pada tempohari, penulis yakin bahawa pemain-pemain tersebut boleh meningkatkan prestasi mereka dengan bertambahnya minit permainan mereka pada peringkat tertinggi. Pemain seperti Nik Akif Syahiran dan Danial Asyraf merupakan bakat muda yang perlu diambil serius oleh Kelantan kerana potensi mereka berdua sebagai lambang masa depan pasukan bola sepak Kelantan amatlah besar.

Suka atau pun tidak, peminat pasukan Kelantan perlu sedar bahawa pasukan kesayangan mereka perlu melakukan proses transisi dan ‘pembersihan’ untuk memastikan masa depan pasukan kesayangan mereka terjamin. Suka ataupun tidak, peminat pasukan Kelantan perlu sedar bahawa tiada seorang pun pemain yang lebih besar daripada pasukan Kelantan, walaupun ada pemain yang telah memberikan sumbangan prestasi yang besar kepada pasukan Kelantan.

Namun, harus diingat oleh pihak pengurusan pasukan. Mereka perlu berhati-hati sekiranya hendak mengeluarkan sesuatu kenyataan mengenai situasi pemain mereka ataupun pasukan mereka itu sendiri. Dengan ledakan internet serta kekerapan penyokong bola sepak di Malaysia ini dalam media sosial masing-masing, adalah suatu yang bahaya sekiranya pihak pengurusan tersilap langkah dalam membuka mulut kepada pihak media sekiranya wujud isu mengenai pemain dalam pasukan mereka atau isu mengenai pasukan mereka.

Kita dapat lihat bagaimana peminat pasukan Kelantan meledak di media sosial apabila wujudnya dua situasi yang berbeza telah dilaporkan dalam akhbar-akhbar rasmi tempatan mengenai penamatan kontrak pemain oleh pasukan. Pemain-pemain seperti Bruno Lopes, S Veenod dan yang terbaru, Khairul Fahmi dan Badhri Radzi meluahkan ketidakpuasan hati mereka terhadap pihak pengurusan pasukan apabila berita mengenai ketiadaan mereka dalam perancangan pasukan diketahui oleh mereka melalui laporan-laporan di dada-dada akhbar berbanding daripada mulut pihak pengurusan itu sendiri.

Berbanding melakukan perjumpaan bersama pemain-pemain tersebut setelah bocornya maklumat tersebut di dada-dada akhbar, mereka perlu bersikap proaktif dalam mengendalikan isu begini dengan terus berjumpa pemain-pemain tersebut secara empat mata sekiranya terdapat hal-hal besar yang memerlukan kepada perbincangan segera.

Setakat yang penulis boleh simpulkan, pasukan bola sepak Kelantan ketika ini sedang melalui proses transisi yang sangat kritikal. Jika pasukan luar mampu melalui proses transisi sambil boleh mengekalkan sekurang-kurangnya kedudukan dalam liga pada pertengahan carta, sukar untuk menyatakan perkara yang sama bagi pasukan dalam Liga Malaysia yang jumlah pasukannya dalam liga yang tertinggi hanyalah 12 pasukan sahaja.

Sangat kritikal juga untuk pihak pengurusan berusaha mengekalkan kepercayaan penyokong mereka terhadap pasukan bola sepak Kelantan dengan mengelak daripada melakukan tindakan-tindakan kurang cerdik yang boleh menyebabkan pihak pengurusan dilabel sebagai tidak profesional.