Malaysia Liga Super Malaysia

Kembali beraksi di Stadium Perak, Durakovic rindukan pemain ke-12

Jurulatih Perak, Mehmet Durakovic nampaknya cukup gembira apabila dapat kembali ke Stadium Perak menjelang aksi suku akhir kedua Piala FA bertemu PKNS FC Sabtu ini.

Katanya, selepas terpaksa menggunakan Stadium TLDM Lumut sejak Februari lalu bagi memberi laluan kepada kerja-kerja menaik taraf Stadium Perak, pasukannya pasti akan berasa berkobar-kobar apabila berhadapan dengan ribuan penyokong di laman sendiri.

“Penyiapan kerja dan penyerahan stadium baru-baru ini memang tepat pada waktunya kerana kami boleh benar-benar beraksi di laman sendiri.

“Terus terang saya katakan saya cukup merindui sokongan penyokong di Stadium Perak, perlawanan sebelum ini terasa hambar kerana kurang penonton gara-gara beraksi jauh.

“Saya yakin penyokong akan membanjiri stadium pada malam Sabtu ini untuk memberi sokongan kepada pemain Perak.

“Kami perlukan pemain ke-12 dalam usaha memadam defisit 1-2 di Shah Alam pada perlawanan pertama sebelum ini,” katanya kepada Berita Harian.

Mengulas lanjut, Durakovic juga yakin anak buahnya dapat mengubah nasib pasukan walaupun berdepan tugas sukar dalam aksi Piala FA kali ini.

“Ini peluang terbaik untuk mara selangkah lagi. Saya harap pemain lakukan yang terbaik Sabtu ini. Berdasarkan persembahan pemain saya yakin kami mampu lakukannya,” katanya.

Pada aksi suku akhir pertama di Stadium Shah Alam, 7 April lalu, The Bos Gaurus tewas 1-2 kepada PKNS FC menerusi jaringan Faris Ramli dan Safee Sali manakala gol tunggal Perak dijaringkan oleh Wander Luiz.