Kajian & Analisis Luar Negara

Analisis: Apa masalah yang sedang dialami oleh Suso di AC Milan?

Dapatkan bola, masuk ke dalam, gelecek, lakukan hantaran silang dan gagal. Perkara sama diulang dan masih gagal. Tidak menjadi kerana di pentas besar, ia sangat biasa. Apa jadi dengan Suso?

Kebuntuan Suso adalah hasil keputusan taktikal yang diambil oleh AC Milan. Ia disebabkan oleh Hakan Calhanoglu diletakkan di bahagian kiri dan nalurinya untuk mencatat gol tidak sebagus Suso dalam permainan terbuka, sedangkan Patrick Cutrone, Nikola Kalinic dan Andre Silva mampu melakukan tugas itu dan mencatatkan nama di senarai penjaring.

Dalam kata lain, hanya Suso di barisan depan Milan yang berkemampuan untuk mencatat gol lewat menerusi aksi individu. Sama dengan bantuan jaringan, hanya Suso yang mampu memberikan umpanan sesuai buat jentera depan. Apabila dia buntu, maka rakan-rakannya turut sukar memecahkan benteng lawan.

Justeru, adakah aksi longlai Milan disebabkan prestasi Suso seorang? Belum pasti kerana gaya permainan Milan juga terpengaruh hasil daripada kebuntuan pergerakan daripada Suso.

Terlalu berpusat

Dalam sistem serangan Milan musim ini, mereka banyak berpusat di sebelah kanan. Ia terjadi kerana Franck Kessie sering berada di situ berbekalkan daya pergerakan yang sangat tinggi seperti Suso dan disokong oleh David Calabria yang sentiasa bersedia untuk naik sewaktu menyerang.

Bagaimanapun, serangan daripada sebelaha kanan sering tersekat. Baik Kessie atau Calabria, mereka tidak memiliki ketepatan dalam umpanan silang serta kemahiran individu sebagus Suso, jadi jika boleh terarah ke sebelah kanan, pasti Suso yang akan mendapatkannya.

Sayangnya, Suso bukan pemain tipikal yang suka memanggil rakan-rakan untuk berlari sebelum melakukan hantaran lintang. Dia lebih gemar menggelecek, melepasi lawan dengan lentok badan. Hampir setiap kali Suso mendapatkan bola, sudah terfikir apa akan dilakukan.

Situasi berbeza di sebelah kiri. Ricardo Rodriguez dan Calhanoglu kerap bermain sebagai satu kombinasi pantas dengan selingan hantaran silang, hantaran ke depan serta rembatan jarak jauh. Di bahagian itu, hanya Giacomo Bonaventura yang tidak memiliki kepantasan kerana tugasnya sebagai pembekal bola.

Tiada pelapis

Kebuntuan Suso juga mungkin disebabkan tiada pelapis atau pesaing di posisinya. Ia bukan sekadar pemain yang mampu melakukan sama seperti Suso tetapi seseorang yang boleh menghadirkan kelainan.

Jika Milan memliki Suso yang dikenali dengan corak gemar masuk ke dalam, mungkin Milan harus memikirkan untuk mencari pemain sayap yang memiliki larian pantas dan bukan inverted winger. Pemain seperti Juan Cuadrado atau Jose Callejon. Mereka mamppu menjadikan tempo serangan Milan lebih pantas.

Memiliki pengganti yang berbeza dengan Suso juga berguna untuk memberi tekanan terus-menerus kepada benteng lawan dalam sesebuah perlawanan. Sebagai contoh, Suso beraksi selama 70 minit tetapi tidak memberikan sumbangan maksimum walaupun dalam masa sama membuatkan benteng lawan kepenatan. Jadi, 20 minit terakhir boleh digunakan Milan untuk memanfaatkan kelamahan lawan dengan kepantasan pemain baru.

Beberapa pasukan seperti Juventus, Bayern Munich dan Real Madrid mempraktikkan cara itu, menyimpan pemecut di bangkut simpanan sebagai tenaga tambahan. Juventus dengan Cuadrado, Bayern dengan Kingsley Coman sebelum tercedera serta Real Madrid dengan Lucas Vazquez.

Suso ketika ini sedang berada dalam keadaan negatif bersama Milan. Kali terakhir dia menjaringkan gol adalah sewaktu seri 1-1 menentang Udinese dan dalam lima minggu terakhir di Serie A, tiada sebarang bantuan jaringan dilakukannya. Ia berlawanan dengan prestasi di awal musim selepas mencatat lima gol dan tiga bantuan jaringan.

Perlu ada perubahan dalam kem Milan untuk Suso kembali ke tahap terbaik, sekurang-kurangnya sehingga akhir musim ini. Jika mereka mencari pengganti baru pada musim depan dan membuat perubahan dalam permainan yang terlalu radikal, mungkin Milan boleh memulakan dengan pencarian penyerang berkualiti.

Ia disebabkan jika sehebat mana pun Suso tanpa kehadiran penyerang yang bagus dan bernaluri tinggi untuk mencipta gol, umpanannya tetap sia-sia.