Asia Berita

Tribe Ratings: Adam gagal berfungsi sebagai bek kanan, Fazly diayamkan pemain sayap Persija

Harapan Johor Darul Ta’zim di pentas Piala AFC diberi tamparan hebat hari ini selepas mereka ditumpaskan dengan mudah oleh Persija Jakarta di Stadium Gelora Bung Karno. Bekas penyerang Negeri Sembilan, Marko Simic menjaringkan empat gol untuk membantu Persija meraih kemenangan di hadapan ribuan penyokong mereka di Jakarta malam ini.

Berikut adalah Tribe Ratings yang diberikan oleh penulis kami kepada semua pemain Johor DT yang diturunkan oleh Raul Longhi:

Izham Tarmizi - 5/10
Tidak banyak yang boleh dilakukan oleh Izham untuk ketiga-tiga gol Persija. Tetapi mungkin Izham boleh memberikan arahan lebih jelas kepada barisan pertahanan terutamanya untuk jaringan kedua Simic.
Junior Eldstal - 5/10
Junior yang beraksi di bahagian kiri trio pertahanan JDT pada separuh masa pertama sering ditarik ke bahagian tepi kerana perlu membantu Fadzly Mazlan yang diasak hebat Riko Simanjutak sekaligus membiarkan Aidil dan Hariss berdepan Marko Simic. Bermain lebih baik di separuh masa kedua apabila JDT kembali bermain dengan empat pemain pertahanan. Sepatutnya JDT meletakkan Junior untuk mengawal Simic daripada awal permainan kerana dia berjaya mengawal ketat penyerang Croatia tersebut pada separuh masa kedua.
Aidil Zafuan - 4/10
Selaku ketua pasukan dan antara pemain berpengalaman, Aidil gagal memberikan arahan kepada barisan pertahanannya. Aidil dilihat tidak mengawal Marko Simic dengan ketat untuk gol pertama dan ketiganya. Trio Aidil, Junior dan Hariss begitu kucar kacir dan mudah untuk Persija membuka ruang untuk menjaringkan gol.
Hariss Harun - 5/10
Tiada seorang pun daripada trio pertahanan tengah JDT di separuh masa pertama yang boleh dipuji. Selain Aidil, Hariss juga pemain berpengalaman dalam skuad JDT ini, tetapi tidak menunjukkannya dalam perlawanan ini. Kelihatan gugup setiap kali Persija datang menyerang dan kurang komunikasi bersama Aidil dan Junior ketika bertahan. Beraksi lebih baik pada separuh masa kedua apabila kembali ke posisi asal sebagai pemain tengah dan banyak membantu ketika bertahan.
Adam Nor Azlin - 3/10
Selepas pernah beraksi sebagai penyerang dan pertahanan tengah, Adam diturunkan sebagai pemain bek kanan sayap dalam perlawanan ini. Sukar mengawal Novri Setiawan dan Rezaldi pada separuh masa pertama. Memberikan sepakan percuma yang digunakan Persija untuk menjaringkan gol kedua menerusi tandukan Marko Simic. Dibuang padang pada minit ke-78 selepas menerima kad kuning kedua kerana menjatuhkan Ramdani.
Fazly Mazlan - 3/10
Dua kali melakukan kesilapan untuk dua gol Persija Jakarta. Yang pertama, tidak melihat larian yang dilakukan oleh Riko Simanjutak sebelum dia menghantar bola kepada Marko Simic dan gol kedua tidak mengawal rapat Marko Simic yang menanduk masuk gol kedua. Kurang melakukan overlapping kerana perlu mengawal ketat Riko dan Sandi. Digantikan Azrif Nasrulhaq pada separuh masa kedua.
Afiq Fazail - 5/10
Tugas sukar untuk Afiq yang beraksi bersama Amirul di bahagian tengah. Afiq dan Amirul sukar mengawal 6 orang pemain yang terdiri daripada barisan tengah dan trio serangan Persija. Afiq seakan-akan tidak tahu apa yang perlu dilakukan dan siapa yang perlu dikawal. Selepas JDT memasukkan Safiq Rahim dan menukarkan Hariss Harun ke posisi asalnya di bahagian tengah, barulah Afiq dapat melaksanakan tugasnya dan bermain sedikit ke atas untuk membantu bahagian serangan.
Amirulhadi Zainal - 4/10
Bergandingan dengan Afiq Fazail di bahagian tengah. Mengambil alih tugas Natxo Insa dalam perlawanan ini. Tempo yang pantas dan tekanan daripada pemain Persija membuatkan Amirul gagal melakukan tugasnya dengan baik. Kurang mendapat bola dan apabila bola sampai di kakinya, pemain tengah Persija dengan pantas menekannya. Digantikan Safiq Rahim pada separuh masa kedua.
Nazmi Faiz - 5/10
Bermain di bahagian kiri trio serangan berbanding posisi asalnya di bahagian tengah. Biarpun begitu, Nazmi rajin turun untuk membantu barisan tengah dan cuba merancang beberapa serangan. Dikawal ketat oleh Ismed Sofyan dan barisan tengah Persija setiap kali mendapat bola menyukarkannya untuk mengumpan bola kepada Darren Lok.
Darren Lok - 4/10
Rajin tapi tiada hasil. Darren rajin mengejar dan cuba merampas bola daripada pemain Persija tapi dari segi serangan, Darren masih tidak cukup tajam. Sentuhan pertamanya sering kali mengecewakan dan mudah dikawal pertahanan Persija.
Syafiq Ahmad - 4/10
Beraksi di bahagian kanan trio serangan JDT. Beberapa kali cuba mengancam barisan pertahanan JDT menerusi bahagian sayap kanan dan sering bertukar posisi dengan Nazmi di bahagian kiri. Digantikan dengan Hazwan Bakri pada separuh masa kedua.

SIMPANAN

Azrif Nasrulhaq - 4/10
Masuk menggantikan Fadzly Mazlan. Bermula dengan baik dan sering membantu serangan, tetapi kesilapannya menjatuhkan Riko Simanjutak di kotak penalti menghadiahkan sepakan penalti yang diambil Marko Simic untuk jaringan keempatnya.
Safiq Rahim - 5/10
Masuk menggantikan Amirulhadi Zainal. Kemasukan Safiq memperkemas bahagian tengah JDT, tetapi mungkin sedikit lewat kerana Persija sudah menjaringkan 3 gol. Dibantu Haris dan Afiq, Safiq banyak merancang gerakan untuk JDT yang mengawal bahagian tengah untuk separuh masa kedua.
Hazwan Bakri - - /10
Masuk menggantikan Syafiq Ahmad.