Kajian & Analisis Berita

SEA WEEKLY BEST XI: Kesebelasan terbaik mingguan Asia Tenggara (April 3 -April 9)

Salam sejahtera, para pembaca Football Tribe sekalian!

Kami kembali lagi minggu ini dengan edisi ketiga konten terbaru Football Tribe, iaitu ‘Southeast Asia Weekly Best XI’ ataupun Kesebelasan Terbaik Mingguan Asia Tenggara!

Senarai ini dibina melalui kolaborasi antara panel penulis kami di seluruh Asia Tenggara, dan berikut adalah senarai 11 pemain terbaik di rantau ini sepanjang satu minggu lepas.

Penjaga Gol: Michael Falkesgaard (Bangkok United)

Penjaga gol kacukan Filipina-Denmark ini bermain dengan cukup mantap minggu lepas apabila berjaya membuat beberapa tepisan penting untuk membantu Bangkok United mencatat 'clean sheet' ketika menentang Port FC.

DF: Doan Van Hau (Hanoi FC)

Selepas dimasukkan sebagai pemain gantian, Doan Van Hau memainkan peranan yang cukup penting dalam pertembungan di antara Hanoi FC dan HAGL. Sepakan percumanya berjaya mencipta peluang yang disudahkan oleh Oseni.

DF: Muslim Ahmad (Pahang FA )

Muslim Ahmad cemerlang di Stadium Darul Makmur pada hari Jumaat lepas apabila Pahang berjaya mengikat Johor DT 0-0 di Kuantan dalam saingan Piala FA. Pemain pertahanan ini mengekang kemaraan Hazwan Bakri dan Safawi Rasid untuk seluruh perlawanan, tidak membuat sebarang kesilapan, dan muncul pemain terbaik Pahang dalam perlawanan tersebut.

DF: Tran Van Kien (Hanoi FC)

Kepantasan Tran Van Kien sebagai bek kanan menjadi faktor penting dalam kejayaan Hanoi FC melindungi gawang gol mereka daripada dibolosi oleh barisan penyerang import HAGL, hujung minggu lepas.

CM: Sumanya Purisai (Bangkok United)

Pemain tengah Bangkok United ini berjaya menjaringkan gol yang cukup cantik minggu lepas, sekaligus memenangi anugerah Gol Terbaik Mingguan Thai League 1. Dia turut mengawal tempo perlawanan untuk membantu Bangkok menumpaskan Port FC 3-0.

CM: Evan Dimas (Selangor FA)

Selangor berjaya meraih kemenangan 3-0 ke atas Kuala Lumpur pada hari Sabtu lepas, di mana Evan Dimas muncul sebagai antara pemain terbaik perlawanan tersebut. Bintang Indonesia itu cukup tenang di atas padang dan sering menjadi titik permulaan kebanyakkan serangan yang dilancarkan oleh The Red Giants. Evan juga hampir menjaringkan gol yang cantik pada awal babak kedua.

LM: Faris Ramli (PKNS FC)

Bintang Singapura ini meneruskan prestasi cemerlangnya minggu lepas dengan persembahan yang berjaya membantu PKNS meraih kemenangan 2-1 ke atas Perak. Dia mencipta jaringan yang cantik untuk meletakkan PKNS 1-0 di hadapan pada babak pertama, sebelum terus menyeksa Amirul Azhan dengan larian-larian yang bijak untuk baki perlawanan tersebut.

RM: Zah Rahan Krangar (Madura United)

Bekas pemain Felda United ini muncul sebagai antara pemain terbaik di Liga 1 Indonesia minggu lepas. Walaupun gagal menyudahkan sepakan penalti, Zah Rahan mencatat dua assist dan satu gol untuk membantu Madura United menewaskan Sriwijaya FC, antara pasukan terkuat di Indonesia.

AM: Suhandi (PSMS Medan)

Pemain yang bermain di posisi attacking midfield ini berjaya menjaringkan gol akrobatik yang cemerlang ketika menentang Persija Jakarta minggu lepas. Dia sering memberi tekanan kepada pertahanan Persija dan juga membuat hantaran yang memaksa Simic menjaringkan gol sendiri dalam perlawanan tersebut.

AM: Kroekrit Thaweekarn (Chonburi FC)

Chonburi FC meraih tiga mata penting dengan kemenangan ke atas Chainat FC, hujung minggu lepas dan Kroekrit Thaweekarn berjaya meledak satu gol cantik dan mencatat satu assist dalam kemenangan itu.

FW: Reung Bunheing (National Defense Ministry - Cambodia)

Penyerang berumur 25 tahun ini berjaya menjaringkan hat-trick di Liga Cambodia minggu lepas, sekaligus membantu pasukannya mendapatkan kemenangan 8-0 ke atas Western Phnom Penh. Dia turut menjadi pemain Cambodia ketiga untuk menjaringkan hat-trick di pentas liga mereka musim ini.

Anda setuju dengan pilihan panel Football Tribe di seluruh Asia Tenggara? Kongsikan pandangan anda di laman Facebook kami!