Malaysia Liga Super Malaysia

Ramon Marcote akan buat keputusan dalam beberapa hari lagi

Semuanya kerana penyokong.

Sekarang ini nampaknya semua perkara adalah kerana penyokong. Pemain dipilih atas desakan penyokong. Jurulatih ditukar juga kerana penyokong.

Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Ahmad Bashah menyatakan, keputusan memberi peranan baru kepada Ramon Marcote dan melantik Nidzam Adzha sebagai penggantinya adalah selepas mengambil kira pandangan penyokong dan pemain pasukan.

Ahmad Bashah dalam laporan Harian Metro berkata: “Kita tahu penyokong duduk di luar dan bola ada di kaki pemain. Jadi perasaan pemain kita ambil, perasaan penyokong pun kita ambil…semua kita ambil pandangan.

“Kita dah banyak berbincang. Jadi keputusan KFA ini bukan kata kita tidak mahukan Marcote. Kita ‘rehatkan’ sementara dan kita bagi tugas lain kerana kita juga mahu supaya dia turut memberi peningkatan dan aspek pembangunan untuk pasukan.”

Namun, kalau dilihat pada laman sosial Marcote, dia sendiri bingung dengan apa yang sedang berlaku.

https://www.instagram.com/p/Bg5JtJjlJhq/?hl=en&taken-by=marcote8

Marcote seakan-akan sudah kecewa dan sudah mengucapkan selamat tinggal. Menerusi laman Instagram peribadinya, Marcote menyatakan dia akan mengambil masa beberapa hari sebelum mengumumkan keputusannya.

Pastinya Marcote tidak datang ke Kedah semata-mata untuk menjadi jurulatih pembangunan sahaja. Bekas jurulatih akademi Atletico Madrid ini pastinya ada banyak kelab yang mahukan kepakarannya.

Dunia bolasepak sekarang kuasa di tangan pemain dan penyokong nampaknya. Tiada lagi kuasa di tangan jurulatih. Pemain dan penyokong boleh menentukan siapa mereka mahu dan membuang siapa yang mereka tidak mahu. Bagaikan permainan.