Luar Negara

Bagaimana bolasepak sentiasa berjaya mengukir senyuman buat Palestin

Setiap kali menyaksikan berita atau membaca sebarang perkara membabitkan Palestin, rasa pilu pada hati sentiasa menyelubungi perasaan kita.

Selama berpuluh tahun, negara yang terletak di kawasan Timur Tengah ini tidak terasing dengan konflik bersama jiran, Israe;. Bau hanyir darah daripada setiap nyawa yang terkorban akibat tembakan peluru, tangisan orang ramai selepas kehilangan insan tersayang serta premis-premis yang musnah akibat pengeboman sentiasa menjadi perkara yang berulang.

Peperangan yang masih berjalan itu tiada siapa tahu bila akan menuju jalan penyelesaian. Bagaimanapun, wujud senyum yang mula terbit daripada warga Palestin, yang datangnya daripada bolasepak.

Seperti kebanyakan negara di benua Asia, Palestin juga tidak terkecuali daripada masyarakat yang sukakan bola sepak. Situasi yang kurang memberangsangkan membuat perkembangan bola sepak mereka menjadi sulit.

Walaupun Persekutuan Bolasepak Palestin (PFA) telah wujud sejak 1928, mereka hanya menjadi sebahagian daripada Gabungan Bolasepak Dunia (FIFA) pada tahun 1998.

Sejak itu, mereka mula menyertai pelbagai perlawanan dan aksi di peringkat antarabangsa, termasuk kelayakan Piala Asia dan Piala Dunia serta menyertai Kejuaraan Bolasepak Asia Barat. Sebelum itu, Palestin hanya beraksi dalam beberapa pertandingan di sekitarnya sahaja seperti Piala Negara-Negara Arab atau Pan Arab Games.

Berdasarkan situasi yang dilalui , Palestin tampak sukar untuk berkembang menjadi sebuah pasukan yang kompetitif. Kekangan mendapatkan pemain menjadi salah satu sebabnya. Selain itu, mereka juga tidak mampu menguruskan perlawanan antarabangsa di negara sendiri kerana tidak mempunyai stadium yang sempurna.

Bagaimanapun, usaha untuk membangun dan memperkembangkan Palestin sebagai negara yang lebih baik sentiasa dilakukan. Kekurangan pemain yang dihadapi diatasi dengan cara merekrut pemain daripada Amerika Latin (terutamanya Chile) kerana di sana mempunyai cukup ramai penghubung Palestin.

Jangan terperanjat skuad Palestin pada awal era 2000 pernah diperkuatkan oleh pemain dengan nama seperti Edgardo Abdala, Pablo Abdala, Francisco Atura, Roberto Bishara, Hernan Madrid dan Alejandro Naif.

Situasi sama juga masih berlanjutan sehingga kini selepas memiliki barisan pemain seperti Jonathan Cantillana, Matias Jadue, Yashir Pinto dan pablo Tamburrini.

Untuk stadium bagi mewakili pasukan kebangsaan mereka, akhirnya impian itu terlaksana hasil bantuan program FIFA yang dipanggil FIFA’s Goal. Stadium yang disiapkan itu diberi nama Stadium Antarabangsa Faisal Al-Husseini dan mula digunakan pada tahun 2008 serta mempunyai kapasiti seramai 12,500 penonton. Ia terletak di Al-Ram, Tebing Barat.

Walaupun dikekang dengan pelbagai halangan dan kesusahan, mereka tidak pernah memandang ringan usaha menaik taraf pasukan bola sepak. Hasilnya, pelbagai kejayaan manis mula diraih sedikit demi sedikit.

Pada 2014, Palestin berjaya meraih status juara dalam saingan Piala Cabaran AFC> Kejuaraan ini dibentuk oleh Persekutuan Bolasepak Asia (AFC) untuk negara-negara yang sedang membangun dalam bola sepak seperti Afghanistan, Bhutan, Mongolia, Nepal, Palesin sehingga Timor Leste. Kini, Piala Cabaran AFC itu sudah lagi tiada tetapi AFC mewujudkan Piala Solidariti AFC sebagai pengganti.

Selepas menjuarai kejohanan itu empat tahun lalu, mereka terus membangun pesat apabila melayakkan diri ke pentas Piala Asia 2015 di Australia. Ia menjadi berita yang paling menggembirakan buat mereka di Benua Kuning. Walaupun gagal melepasi peringkat kumpulan, ia jelas satu pencapaian membanggakan.

Terbaru, skuad Palestin kini dibimbing bekas pengendali skuad Bolivia ketika era 90-an, Julio Cesar Baldivieso, dan melayakkan diri ke Piala Asia 2019. Ketika aksi kelayakan, mereka menduduki tangga kedua Kumpulan D untuk mengiringi juara kumpulan, Oman.

Bagi negara yang tidak tenang akibat peperangan, pencapaian di atas sangat besar ertinya. Ia membuktikan penyertaan mereka secara serius. Segala kepayahan yang dihadapi ditangani dengan bijak. Sentiasa serius dalam usaha, terus menjalankan keperluan yang ada dan memegang tinggi aspek profesionalisme. Ia menjadi pantas apabila Palestin mengamalkan segala aspek ini.

Berdasarkan kedudukan FIFA pada Mac 2018, mereka kini berada di tangga ke-73 tetapi jika diletakkan dalam kategori Asia, mereka menduduki tempat kelapan mengatasi Emiriyah Arab Bersatu, Qatar dan juara Piala Asia 2007, Iraq. Hebat bukan?

Jangan terkejut sekiranya dalam masa beberapa tahun lagi, Palestin mampu menyertai barisan elit Asia yang beraksi di pentas Piala Dunia seperti Jepun, Korea Selatan, Arab Saudi dan Iran untuk melayakkan diri ke pentas paling berprestij itu.