Berita Luar Negara

Yemen: Kejayaan layak ke Piala Asia jadi pengubat di sebalik peperangan yang mengelilingi mereka

Aksi kelayakan Piala Asia 2019 bukan sahaja memberikan kenangan indah buat skuad kebangsaan Filipina tetapi turut memberikan satu kejayaan besar buat pasukan yang menamatkan saingan di tangga kedua di belakang Filipina, iaitu Yemen. Sama seperti Filipina, aksi pada tahun depan itu merupakan penampilan pertama Yemen di Piala Asia.

Laluan mereka ke Piala Asia lebih panjang berbanding Filipina. Mereka terlebih dahulu beraksi di peringkat kelayakan pertama tatkala Filipina hanya memulakan saingan dari peringkat kedua. Di peringkat pertama, Yemen telah berdepan Pakistan dan mereka berjaya meraih kemenangan dalam aksi pertama. Walaupun diikat seri pada aksi timbal balik, mereka layak ke pusingan seterusnya.

Dalam aksi kelayakan peringkat kedua, Yemen hanya sekadar menempatkan diri di kedudukan terakhir Kumpula H, namun masih layak ke Piala Asia menerusi tiket play off. Mereka telah membenam cabaran Maldives 4-0 untuk melangkah ke peringkat kumpulan dan diundi bersama Filipina di peringkat ketiga.

Mereka terlebih dahulu berdepan Tajikistan dan meraih kemenangan. namun, tiga seri berturut-turut ketika dua kali bertemu Filipina dan sewaktu berdepan Nepal, membuatkan kedudukan mereka tidak terjamin kerana Tajikistan masih berpeluang mengejar mereka. Mereka terpaksa menunggu sehingga aksi terakhir mengatasi Nepal sambil mengharapkan Tajikistan ditundukkan Filipina untuk mengesahkan tempat ke Piala Asia.

Hormat adalah perkataan yang tepat menggambarkan perjuangan mereka. Kejayaan mereka ke Piala Asia adalah hasil peranan Abraham Mebratu, jurulatih Yaman yang berasal dari Ethiopia. Dia telah mengendalikan pasukan sejak Mac 2016 dan di bawah kendaliannya, Yemen tidak pernah kalah dalam aksi kelayakan peringkat ketiga.

Perlu diingat bahawa Yemen adalah negara yang sedang dilanda perang. Piala Asia mungkin menjadi pengubat di sebalik peperangan yang mengelilingi mereka. Kejayaan Yemen ini menjadi bukti bahawa tiada apa yang mustahil.