Luar Negara Berita

Penyokong Persib lapor pada polis, mahu tiga pemain Persija mohon maaf di Bandung

Nampaknya isu ini masih belum selesai.

Biarpun pemain dan pegawai Persija Jakarta telah memuatnaik video permohonan maaf, penyokong Persib, Viking Persib Klub tetap melaporkan mengenai insiden berkenaan kepada pihak polis Indonesia.

Wakil penyokong Persib Bandung, Yana Umar menyatakan bahawa mereka telah melaporkan kejadian tersebut kepada pihak polis di Bandung pada hari Khamis.

“Maaf kami akan mengambil tindakan undang-undang. Tidak sepatutnya seorang pemain bolasepak berbuat seperti itu. Mereka perlu ingat, mereka tidak akan selamanya menjadi pemain bolasepak, dan tidak akan ada pasukan lain yang akan mengambilnya dengan sikap sedemikian.”

Walaupun Persija telah menyiarkan video permohonan maaf, tetapi Yana menyatakan mereka mahu ketiga-tiga pemain yang berada dalam video tersebut datang ke Bandung dan memohon maaf kepada penyokong Persib.

“Kami dari Viking mahu pemain yang terlibat meminta maaf. Jumpa kami Isnin depan di sini (Bandung) untuk menyelesaikan masalah ini agar tidak berlanjutan. Mereka telah tularkan video menyatakan kebencian kepada kami, kami mahu tularkan juga video permohonan maaf mereka, supaya menjernihkan keadaan di antara Viking dan penyokong Persija, The Jak Mania di Jakarta,” kata Yana lagi.

Perseteruan di antara Persija Jakarta dan Persib Bandung sememangnya cukup terkenal di Liga Indonesia. Setelah banyak kejadian berlaku di antara kedua-dua set penyokong termasuk kematian, kedua-duanya sudah bersetuju untuk berdamai pada musim lalu.

Video yang tular di media sosial itu menyaksikan beberapa pemain Persija sedang berehat. Tiba-tiba salah seorang dari mereka muncul dan dilihat menghina penyokong Persib Bandung dalam video tersebut.