Malaysia Liga Super Malaysia

Rasmi: Bekas pemain Lyon, Melbourne City sah sertai Johor DT

Johor Darul Ta’azim mengumumkan kehadiran pemain import baru mereka, Harry Novillo menerusi laman Facebook Johor Southern Tigers.

Bekas pemain Lyon dan Melbourne City itu akan menggantikan tempat Jorge Pereyra Diaz sebagai pemain import yang meninggalkan pasukan sebelum perlawanan bertemu Tampines Rovers Februari lalu.

Novillo merupakan bekas pemain daripada akademi Lyon. Namun, dia hanya membuat dua penampilan bersama kelab tersebut sebelum dipinjamkan ke Le Havre.

Pemain berusia 26 tahun ini sudah beraksi untuk lapan pasukan sebelum menyertai JDT. Antara pasukan yang pernah diwakili Novillo adalah Lyon, Le Havre, Gazelec Ajaccio, Mons, Clermont, Melbourne City, Manisaspor dan Baniyas Club.

Dia boleh beraksi di kedua-dua belah sayap dan juga sebagai seorang penyerang. Novillo pernah beraksi untuk skuad bawah 17 tahun dan 19 tahun Perancis sebelum memilih untuk mewakili skuad senior Martinique.

Bakal menyertai JDT apabila jendela perpindahan dibuka, pastinya penyokong JDT berharap Novillo dapat membantu mereka mempertahan kejuaraan Liga Super musim ini.