Luar Negara Berita

Skandal pelacuran bawah umur yang melanda pemain muda Independiente

Salah satu skandal seks yang melibatkan pemain bola sepak kembali didedahkan. Beberapa pemain muda daripada salah satu kelab bola sepak terbesar Argentina, Independiente, telah terlibat. Seorang pemain Independiente yang berusia 19 tahun didakwa telah menjual beberapa pemain muda dari akademi pasukan yang berumur 15 dan 16 tahun kepada individu yang bernafsu buas.

Skandal pelacuran bawah umur ini didedahkan pertama kali kepada khalayak ramai oleh seorang peguam di Argentina, Maria Soledad Garibaldi. Menurut Reuters, beberapa pemain muda bola sepak yang datangnya dari luar Buenos Aires ini datang ke ibu kota Argentina untuk menyertai Independiente. Mereka ditanggung sepenuhnya oleh kelab dan di situlah pemain-pemain yang lebih tua menjualkan mereka kepada golongan yang obses dengan seks bawah umur.

Sebenarnya, pihak Independiente telah mengetahui tentang masalah ini selepas salah seorang mangsa sindiket itu mendedahkannya kepada pihak psikologi pasukan. Secara rasmi, pasukan yang pernah diwakili Sergio Aguero ini memecat pemain berusia 19 tahun yang menjual pemain muda dan mereka mengeluarkan kenyataan untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa mengenai masalah itu.

“Berdasarkan kesan masalah ini kepada orang ramai, Club Atletico Independiente menjelaskan laporan kepada pihak berkuasa telah dilakukan untuk tindakan selanjutnya. Kami amat menyesali dengan perkara ini dan akan melakukan segala perkara untuk memperbaikinya,” memetik kenyataan Independiente melalui Goal.

Garibaldi yang mengetuai penyiasatan ini yakin bahawa perkara itu bukan berlaku kepada Independiente sahaja.

“Saya yakin bahawa masalah seperti ini banyak terjadi, bukan sahaja di Independiente. Ada kemungkinan juga ia berlaku kepada pasukan serta bola sepak amatur,” kata Garibaldi melalui radio tempatan.

Garibaldi juga menambah, sejak kes di Independiente terungkai, tiga pemain muda yang lain telah menemuinya untuk mendedahkan kes yang sama. Dalam minggu ini, hampir 60 pemain muda memberikan penjelasan dan pendedahan.

Sudah pasti perkara ini memburukkan reputasi independiente serta bola sepak di Argentina. Ayuh berdoa agar ia tidak akan berlaku lagi.