Malaysia Liga Super Malaysia

Nidzam Adzha jadi ketua jurulatih Kedah, Ramon Marcote diberi peranan baru

Direhatkan atau diberi peranan baru?

Persatuan Bolasepak Kedah mengumumkan bahawa ketua jurulatih, Ramon Marcote diberikan peranan baru bersama Persatuan Bolasepak Kedah.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Yusdi Madeonus Mohamad Yunus dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman Facebook rasmi KFA berkata, Marcote dilantik menjadi Ketua Jurulatih Pembangunan Bolasepak Kedah bagi memantau projek pembangunan sedia ada dan merangka persediaan skuad hijau kuning bagi jangka masa panjang.

Jawatan ketua jurulatih Kedah kini dipangku oleh Mohd Nidzam Adzha yang sebelum ini merupakan penolong kepada Marcote.

Marcote sebelum ini menerima kecaman susulan persembahan buruk Kedah di Liga Super dan Piala FA. Bahkan, kelab penyokong Kedah juga mendesak agar Marcote segera digantikan bagi mengelakkan pasukan menjadi lebih teruk.

Di bawah kendalian Marcote musim ini, Kedah sekadar mencatat dua kemenangan dan menduduki tangga ketujuh Liga Super. Kedah merupakan satu daripada dua pasukan yang menjaringkan gol terbanyak setakat ini dengan 10 gol, tetapi bolos paling banyak, iaitu melepaskan 12 gol.

Sebelum bersama Kedah, Ramon Marcote merupakan sebahagian daripada barisan kejurulatihan akademi Atletico Madrid.