Berita Asia

PSSI akan kenakan hukuman kepada kelab yang enggan lepaskan pemain ke skuad kebangsaan

Dua kelab Liga 1 Indonesia bakal dikenakan hukuman oleh Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) kerana enggan melepaskan pemain mereka untuk menyertai skuad kebangsaan.

PSM Makassar dan Bhayangkara FC berdepan hukuman dari PSSI selepas tidak melepaskan pemain mereka, Asnawi Mangkualam dan Nurhidayat menyertai kem latihan skuad bawah 19 tahun Indonesia yang akan menghadapi skuad bawah 19 tahun Jepun di Stadium Gelora Bung Karno pada 25 Mac nanti.

Setiausaha Agung PSSI, Ratu Tisha menyatakan akan ada hukuman untuk kelab-kelab yang enggan melepaskan pemain ke skuad kebangsaan.

“Untuk setiap kelab yang enggan melepaskan pemain ke skuad kebangsaan Indonesia, akan dibincangkan di sidang mesyuarat jawatankuasa disiplin,” kata Ratu Tisha seperti dipetik daripada Bolasport.

Pada tahun lalu, Persija Jakarta pernah didenda kerana enggan melepaskan pemain mereka, Rezaldi Hehanussa untuk menyertai kem latihan skuad bawah 23 tahun Indonesia yang dalam rangka persiapan Sukan SEA Kuala Lumpur.

Ketika itu , Ketua Pegawai Persija, Gede Widiade menyatakan Rezaldi mengalami kecederaan tetapi kemudiannya beraksi menentang Persela Lamongan.